Sabtu, 12 Januari 2019 | 12:45am
Ole Gunnar Solksjaer (kiri) dan Mauricio Pochettino.

Mampukah Spurs lebur rekod cemerlang Solskjaer?

KOLUM APA KATA EPL

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali lagi minggu ini selepas berehat bagi memberi laluan aksi Piala FA dan Piala Liga.

Selepas 21 perlawanan, Liverpool kekal mendominasi liga dengan 54 mata, meninggalkan pesaing terdekat yang juga penyandang juara, Manchester City dengan kelebihan empat mata. Tottenham Hotspur ditempat ketiga (48 mata), Chelsea (44) dann Arsenal (41) manakala Manchester United di posisi keenam dengan 38 mata, 16 mata ketinggalan di belakang Liverpool.

Minggu terdahulu, aksi mencuri perhatian adalah tumbangnya The Reds kepada City. Kekalahan itu bukan saja melunaskan dendam anak buah Pep Guardiola, namun paling penting, ia kembali merapatkan kedudukan City dipersada. Buat Liverpool pula, kekalahan itu menyaksikan rekod 20 perlawanan tanpa tewas lebur.

United pula yang dibimbing sementara oleh Ole Gunnar Solksjaer, mencatat kemenangan keempat liga berturut-turut dengan menewaskan Newcastle United 2-0 untuk membawa kembali pasukan itu dalam kelompok enam terbaik.

Bagi minggu ini, aksi tumpuan sudah pasti babitkan perlawanan antara Spurs dan United di Wembley tengah malam esok waktu Malaysia.

Keputusan perlawanan ini sangat penting bagi kedua-duanya. Buat Spurs, kemenangan akan meletakka mereka pada kedudukan selesa untuk terus menekan Liverpool dan City dipuncak. Bagi United pula, tiga mata dari London ini akan terus menghidupkan peluang berada dalam kelompok empat terbaik dipenghujung musim.

Apa yang kita boleh jangkakan dari pertembungan ini? Dengan kedudukan semasa, kedua-duanya yang jelas cemerlang, sudah pasti Wembley akan digegarkan mereka. Barisan Mauricio Pochettino tampil di laman sendiri dengan semangat tinggi selepas menewaskan Chelsea 1-0 pada saingan separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris pertengahan minggu. United pula membawa motivasi kemenangan menewaskan Reading, 2-0, saingan Piala FA Inggeris, Sabtu lalu. Ditambah lagi, dengan dapat berehat sambil berlatih di Dubai, mereka pasti teruja untuk menang kali keenam berturu-turut bagi semua kejohanan.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini berentap adalah di Old Trafford, 28 Ogos lalu yang menyaksikan Spurs memalukan United, 3-0. Ketika itu, Red Devils dikendalikan Jose Mourinho. Dengan Solksjaer mengambil tempat Mourinho, mampukah United bangkit atau diaibkan lagi buat kali kedua?

Dalam pada itu, Liverpool dijangka terus berada lebih selesa untuk mengukuhkan kedudukan dipersada liga apabila bakal berdepan empat pasukan 'bukan lawan' untuk aksi seterusnya.

Minggu ini, mereka bertandang ke Brighton, sebelum menjadi tuan rumah kepada Leicester, Crystal Palace dan Bournemouth. Empat aksi ini harus memihak mereka jika Jurgen Klopp tidak melakukan kesilapan taktikal ketika tewas kepada Wolves pada pusingan ketiga Piala FA, baru-baru ini.

Sementara itu, Chelsea dijangka bangkit dari kekalahan kepada Spurs apabila melayam Newcastle manakala Arsenal mampu mengutip mata penuh apabila bertandang ke laman West Ham. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

West Ham 1 Arsenal 3

Burnley 2 Fulham 1

Crystal Palace 2 Watford 0

Cardiff 2 Huddersfield 2

Brighton 1 Liverpool 4

Leicester 2 Southampton 1

Chelsea 3 Newcastle 0

Everton 2 Bournemouth1

Tottenham 2 Man United 1

Man City 3 Wolves 2

*Penulis adalah Penolong Editor Sukan Kumpulan NSTP

660 dibaca
Berita Harian X