Jumaat, 11 Januari 2019 | 8:27am
GAMBAR fail, Paul Pogba mewakili negaranya, Perancis ketika menentang Iceland pada perlawanan persahabatan tahun lalu. - Foto REUTERS

Pogba sedia beraksi lawan Spurs

MANCHESTER: Paul Pogba kembali cergas untuk menyertai Manchester United bertemu Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Isnin nanti, kata pengendali sementara kelab itu Ole Gunnar Solskjaer.

Pemain tengah Perancis itu kembali berlatih bersama rakan sepasukan di kem latihan di Dubai minggu ini selepas pulih daripada kecederaan ketika kemenangan 2-0 ke atas Newcastle 2 Januari lalu.

Pogba turut terlepas aksi Piala FA Sabtu lalu di mana United menewaskan Reading 2-0, tetapi mula berlatih di Emiriah Arab Bersatu.

“Dia nampak bagus, jadi dia akan kembali cergas. Dia masih mempunyai beberapa masalah tetapi dalam beberapa sesi terakhir nampak semakin baik, dia akan kembali cergas,” kata Solskjaer.

Solskjaer mengharungi permulaan sempurna sebagai pengendali United sejak menggantikan Jose Mourinho yang dipecat pada 19 Disember, memenangi kelima-lima perlawanan setakat ini.

Bekas penyerang United dari Norway itu, yang dipinjamkan oleh kelab negara asalnya Molde sehingga akhir musim ini, menjelaskan yang dia berminat untuk mengisi jawatan di Old Trafford itu secara tetap.

Bagaimanapun, lawannya hujung minggu ini, pengendali Tottenham Mauricio Pochettino, antara calon utama yang dikaitkan dengan jawatan ditinggalkan Mourinho itu.

Namun Solskjaer menepis dakwaan yang mengatakan pertemuan dengan Spurs nanti adalah cabaran sebenar pertama sepanjang dia mengendali United, susulan kemenangan ke atas Cardiff, Huddersfield, Bournemouth, Newcastle dan Reading.

“Kami sudah diuji. Bertandang ke Newcastle adalah cabaran dan perlawanan pertama juga adalah ujian terhadap reaksi setiap orang. Perlawanan pertama di laman sendiri juga adalah satu ujian,” katanya. – AFP

 

744 dibaca
Berita Harian X