Rabu, 9 Januari 2019 | 10:17pm
MOHAMADOU Sumareh

Nasib Sumareh 16 Januari ini

KUALA LUMPUR: Status Mohamadou Sumareh untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini hanya diketahui 16 Januari ini apabila ahli lembaga pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dijangka bersidang.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, rayuan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang diterima pada 19 Disember lalu itu perlu mengikut prosedur menerusi persetujuan ahli lembaga pengarah MFL terlebih dahulu.

“Surat rayuan PBNP bertarikh 27 November 2018 hanya diserahkan kepada MFL pada 19 Disember 2018. Rayuan ini perlu diperhalusi ahli lembaga pengarah sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Sebenarnya mengikut peraturan sedia ada, mana-mana pemain naturalisasi hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan selepas lima tahun mendapat taraf kerakyatan.

"Tapi kami memberi pertimbangan sewajarnya untuk memendekkan tempoh itu kepada setahun daripada tarikh permohonan pendaftaran Pahang pada 2 Mac tahun lalu atas beberapa aspek termasuk Sumareh sudah bermastautin di negara ini sejak berusia 12 tahun.

“Justeru pada 1 Oktober tahun lalu, ahli lembaga pengarah MFL membuat keputusan membenarkan Sumareh didaftarkan pada jendela perpindahan kedua pada 2 Mei depan apabila mengambil kira tempoh setahun permohonan pendaftaran oleh PBNP.

"Selepas keputusan itu, baru PBNP membuat rayuan. Pada saya isu MFL sengaja melengahkan pendaftaran Sumareh tidak perlu ditimbulkan,” katanya.

PBNP sebelum ini menghantar rayuan terbaru kepada MFL untuk mempercepatkan pendaftaran Sumareh, pemain naturalisasi pertama negara kelahiran Gambia pada jendela perpindahan pertama 20 Februari ini.

Kevin menegaskan, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kelonggaran dalam pendaftaran pemain naturalisasi bagi menjaga kepentingan pemain tempatan pada masa depan.

“Dalam peraturan sudah ditetapkan lima tahun untuk tempoh pendaftaran pemain naturalisasi dalam Liga M, jadi kita perlu mengikut peraturan ini tapi dalam kes Sumareh kita beri sedikit keistimewaan atas beberapa faktor.

"Tapi kita mahu memberi penegasan bahawa kita tidak boleh terus beri kelonggaran selepas ini kerana kita tidak mahu jika ada lagi pemain naturalisasi dibawa masuk, akan terus didaftarkan sebagai pemain tempatan dan akhirnya akan memberi kesan kepada perkembangan pemain tempatan,” katanya.

Berita Harian X