Selasa, 8 Januari 2019 | 7:34pm
Kim Swee hadir pada mesyuarat jawatankuasa pengurusan pasukan kebangsaan kali kedua di Wisma FAM hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

Bukan makan angin – Kim Swee

KUALA LUMPUR: Tiga aksi persahabatan yang akan diharungi skuad bawah 23 (B-23) tahun di Thailand bakal dijadikan ‘medan uji bakat’ oleh pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee bagi memilih pemain terbaik sebagai persiapan menghadapi dua aksi penting selepas itu.

Jelas Kim Swee, dengan dua aksi menanti mereka iaitu Kejuaraan Bawah 22 (B-22) tahun di Kemboja dan pusingan Kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020, tiga perlawanan yang diatur di negara Gajah Perang itu seharusnya tidak diambil mudah pemainnya.

"Selepas perlawanan Piala Newspaper, kita sudah mengenalpasti beberapa pemain yang akan mengisi slot yang ditinggalkan bekas pemain B-23 dan kita akan membawa mereka ke latihan pusat yang berlangsung esok.

"Kita akan bertemu kelab divisyen dua Liga Thailand iaitu Bangkok Glass, Army United dan Ayutthaya United di mana saya akan menganalisis beberapa lagi pemain sebelum dibawa untuk aksi AFF B-22 di Kemboja, bulan depan.

"Apa yang paling penting ialah saya perlu mendapatkan pemain terbaik sebelum pusingan Kelayakan B-23 AFC 2020 bermula, Mac depan," katanya ketika ditemui di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan pemain bagi latihan pusat kali ini, Kim Swee menegaskan beberapa pemain tonggak seperti Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan Akhyar Rasid akan tetap membarisi senarai utama untuk mengharungi pusingan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020.

"Berdasarkan pemilihan pemain ke Vietnam sebelum ini dan Bangkok, banyak lagi pemain baharu dan saya percaya kita perlu melihat kepada pemain lain daripada menitikberatkan pemain yang kita sudah kenali.

"Meskipun tidak dipanggil kali ini, mereka (Safawi, Syamer, Akhyar) sudah tentu akan beraksi untuk kelayakan nanti kerana mereka adalah pemain tonggak buat pasukan B-23," katanya.

Sebagai rekod, pusingan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 yang berlangsung di sini menyaksikan anak buah Kim Swee diundi dalam Kumpulan J bersama China, Laos dan Filipina.

511 dibaca
Berita Harian X