Selasa, 8 Januari 2019 | 7:29pm
Cheng Hoe (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael (kanan), Mohd Yusoff (dua dari kiri) dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal selepas beliau dilantik sebagai ketua jurulatih bola sepak negara dengan lanjutan kontrak 2 tahun. - NSTP/Owee Ah Chun

Cheng Hoe yakin penuhi KPI

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe optimis mampu menyahut cabaran yang dilontarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas diberi kepercayaan untuk terus membimbing Harimau Malaya.

Bakal membimbing skuad kebangsaan sehingga penghujung 2020, Cheng Hoe mengakui dua indeks prestasi utama (KPI) iaitu mara ke final Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2020 dan layak ke saingan Piala Asia 2023 memerlukan komitmen yang tinggi terutama daripada semua pemain.

Meskipun tampak yakin dengan kemampuan yang dimiliki pemain, bekas pengendali Kedah itu tetap mengharapkan kerjasama khususnya daripada semua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi membekalkan 'produk terbaik' buat negara.

"Saya rasa ada ramai pemain muda yang berpotensi untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan pada masa akan datang. Namun apa yang penting mereka perlu terus diberi peluang untuk beraksi bersama pasukan masing-masing.

"Ini kerana apabila mereka kerap beraksi, secara tidak langsung mereka dapat meningkatkan kualiti permainan, teknikal dan fizikal mereka. Jika mereka tidak beraksi secara konsisten, ini sudah tentu akan menjejaskan persiapan kita," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK),  di Wisma FAM, hari ini.

Dalam perkembangan sama, jurulatih berusia 51 tahun itu mengakui dia akan tetap mengekalkan pendekatan dan falsafah yang sudah digunakan dalam skuad kebangsaan seperti yang dilakukan sebelum ini.

"Saya mengharapkan pemain yang akan dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas ini dapat mengikuti pendekatan yang sudah saya terapkan. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pencapaian setiap pemain.

"Bagaimanapun, kita perlu sentiasa bekerja keras bagi memastikan kita sentiasa berada di landasan yang terbaik untuk beraksi di peringkat lebih tinggi," katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan jawatankuasa terbabit sebulat suara mengekalkan khidmat Cheng Hoe selepas kontraknya berakhir, 31 Disember lalu.

"Seperti yang dinantikan, FAM melantik semula Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih skuad kebangsaan bagi memberi peluang untuk beliau meneruskan agendanya dan membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi.

"Cheng Hoe bersedia menerima cabaran, jadi kita memuktamadkan pelantikan beliau sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya dengan kontrak sehingga penghujung 2020. Dengan pelantikan ini, kami harapkan ia dapat menghilangkan segala spekulasi selama ini," kata Yusoff.

759 dibaca
Berita Harian X