Selasa, 8 Januari 2019 | 7:24pm
Dua tugas besar menanti Tan Cheng Hoe selepas terus diberikan kepercayaan oleh FAM. - NSTP/Owee Ah Chun

Cabaran lebih berat tunggu Cheng Hoe

KUALA LUMPUR: Dua tugas besar menanti Tan Cheng Hoe selepas jurulatih berusia 51 tahun itu terus diberikan kepercayaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad Harimau Malaya bagi tempoh dua tahun lagi.

Selepas dikekalkan secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK), Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui cabaran baharu bakal digalas oleh Cheng Hoe apabila badan induk itu meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

"Seperti dinantikan, FAM melantik semula Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih skuad kebangsaan bagi memberi peluang untuk beliau meneruskan agendanya dan membawa pasukan ke tahap yang lebih tinggi.

"Cheng Hoe bersedia menerima cabaran jadi kita memuktamadkan pelantikan beliau sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya dengan kontrak sehingga penghujung 2020. Dengan pelantikan ini, kami harap ia dapat menghilangkan segala spekulasi selama ini.

"KPI lebih tinggi diletakkan iaitu mara ke final Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2020 dan juga layak ke saingan Piala Asia 2023. Ini bukan setakat KPI kepada Cheng Hoe tetapi turut menjadi keutamaan kepada FAM sendiri," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat JPPK di Wisma FAM, hari ini.

Selepas kontrak bekas pengendali Kedah itu berakhir minggu lalu, timbul spekulasi apabila ada pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Cheng Hoe namun seperti dijangka, FAM mengambil langkah pantas apabila mengikat kembali Cheng Hoe, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai sasaran mara ke final Piala AFF 2020 yang dilihat sama dengan sasaran tahun lalu, Mohd Yusoff menjelaskan skuad Harimau Malaya tidak seharusnya berdepan masalah untuk menjuarai kejohanan terbabit.

"Kita meletakkan sasaran lebih tinggi iaitu Piala Asia 2023, jadi ini bermakna saingan Piala AFF akan nampak lebih mudah. Malah kita juga sepatutnya boleh memenangi kejohanan Piala AFF 2020.

"Dengan sasaran lebih tinggi juga, sudah tentu kualiti pasukan jauh berbeza daripada apa kita lihat pada edisi lalu. Mungkin sasaran sebegini tidak menampakkan tekanan kepada jurulatih.

"Namun dalam erti kata lain, dengan meletakkan sasaran beraksi di final Piala AFF 2020, ini bermakna kita perlu menjadi juara," katanya.

Edisi 2018 menyaksikan skuad negara terpaksa akur selaku naib juara Piala AFF selepas dikecewakan Vietnam menerusi keputusan 3-2 secara agregat.

598 dibaca
Berita Harian X