Isnin, 7 Januari 2019 | 6:00pm
JURULATIH Pahang, Dollah Salleh. - Foto Farizul Hafiz Awang

Tok Gajah uji kelab Thailand, Kemboja

KUANTAN: Pahang akan menguji dua kelab Thailand dan sebuah kelab Kemboja pada aksi persahabatan di Bangkok minggu ini sebagai persediaan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M).

Dua kelab Thailand terbabit adalah Chonburi FC dan Army United manakala Visakha FC dari Kemboja dan Pahang akan berada di negara jiran itu selama seminggu bermula hari ini. 

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, aksi persahabatan itu diharap dapat membantu meningkatkan kualiti permainan skuad berkenaan. 

"Bertemu kelab dari Thailand dan Kemboja diyakini dapat membantu pasukan sebelum saingan Liga M memulakan aksi pada Februari depan. 

"Aksi persahabatan itu bukan sahaja menilai prestasi pemain, malah turut menguji beberapa pemain import sebelum diserapkan dalam pasukan. 

"Kita harap dapat menyenaraikan pemain import berkaliber untuk memperkasakan pasukan tidak hanya di posisi serangan, malah tengah dan pertahanan," katanya. 

Sebagai persediaan mengharungi Liga M musim ini, skuad kendalian Dollah Salleh tidak melanjutkan kontrak tiga pemain import iaitu Patrick Cruz, Austin Amutu dan Issey Nakajima.  Bulan lalu, Pahang mengesahkan penyerang Jamaica, Errol Stevens dan bekas pemain Melaka United, Lee Chang Hoon dari Korea Selatan  menjalani sesi ujian pemilihan. 

Namun, tiada keputusan rasmi sama ada skuad Tok Gajah berminat mendapatkan khidmat dua pemain terbabit.

443 dibaca
Berita Harian X