Sabtu, 5 Januari 2019 | 9:23pm
- Ihsan FB Johor Southern Tigers
- Ihsan FB Johor Southern Tigers
- Ihsan FB Johor Southern Tigers

Akhyar berlatih dengan JDT

KUALA LUMPUR: Bintang muda kontroversi Akhyar Rashid menyertai latihan buat kali pertama bersama pasukan juara Liga Super lima kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak semalam.

Dengan kehadiran Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemain berusia 19 tahun yang dinobat sebagai penyerang muda terbaik pada anugerah bola sepak kebangsaan bulan lalu, kelihatan penuh bersemangat di sebalik kemelut antara JDT dan bekas pasukannya Kedah.

Album gambar dan klip video satu minit yang dipapar di laman Facebook Johor Southern Tigers menimbulkan kemarahan penyokong Kedah yang menghambur komen negatif.

Bagaimanapun, di sebalik komen negatif penyokong Helang Merah, ramai penyokong Harimau Selatan tampil mempertahankannya dengan menyatakan dia membuat keputusan tepat demi masa depannya.

Awal hari ini, Akhyar turut dilihat berlatih di samping rakan sepasukan termasuk rakan skuad kebangsaan pada Piala AFF, Aidil Zafuan Radzak dan Safawi Rasid.

Sementara itu, perbalahan antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan JDT menyaksikan pasukan utara itu sudah mengumpul RM5,074 hingga semalam dengan harapan meraih sekurang-kurangnya RM100,000 bagi membawa kes mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland.

Mereka mendakwa JDT menggunakan ‘pintu belakang’ untuk mendapatkan khidmat Akhyar, pemain sayap muda berbakat besar.

1283 dibaca
Berita Harian X