Sabtu, 5 Januari 2019 | 5:50pm
Bekas pemain bolasepak Kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. - Foto Zulkepli Osman

Cheng Hoe layak bimbing Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) harus mengekalkan khidmat Tan Cheng Hoe selaku pengendali skuad Harimau Malaya untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Jelas bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, Cheng Hoe bukan saja berjaya membawa Malaysia mara hingga ke pentas final Piala AFF 2018 pada bulan lalu, malah beliau juga berjaya menerapkan falsafah permainan bola sepak moden ke dalam skuad negara.

Katanya, FAM tidak boleh menilai keupayaan bekas pengendali Kedah itu hanya dalam tempoh 365 hari, sebaliknya Cheng Hoe harus diberi kepercayaan untuk meneruskan tanggungjawabnya sehingga 2020. 

Untuk rekod, Cheng Hoe mula membimbing skuad Harimau Malaya pada Disember 2017 bagi menggantikan bekas jurulatih, Nelo Vingada yang meletakkan jawatannya susulan aksi hambar pasukan di pusingan Kelayakan Piala Asia 2019 lalu.

"Khidmat beliau bagi saya masih diperlukan FAM. Kita tak boleh menilai seseorang itu hanya dalam setahun, sepatutnya perlu beri beliau sekurang-kurangnya tiga tahun. 

"Untuk setahun awal ini dari Disember 2017 hingga Disember 2018, saya boleh katakan beliau lulus dengan baik. Malah kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala AFF harus dijadikan asas terbaik untuk mengekalkan khidmat beliau," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu, kedudukan Cheng Hoe selaku pengendali negara menjadi perhatian selepas kontraknya bersama FAM berakhir pada 31 Disember lalu. 

Menerusi kenyataan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam baru-baru ini, nasib Cheng Hoe hanya akan diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) yang akan bermesyuarat pada Selasa ini, dengan beliau dijangka akan terus memikul tugas itu bagi mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada pertengahan tahun ini.

"Biarlah skuad kebangsaan terus kekal dibimbing anak tempatan. Janganlah kita berbangga dengan jurulatih import kerana kita sebenarnya juga ada jurulatih yang bagus, cuma tidak diberi peluang saja.

"Cheng Hoe layak dan saya yakin jika semua pihak termasuk pasukan negeri dan kelab beri sepenuh kerjasama kepadanya dengan melepaskan pemain terbaik untuk skuad negara, saya percaya beliau mampu membina pasukan terkuat dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selepas ini," katanya.

420 dibaca
Berita Harian X