Sabtu, 5 Januari 2019 | 7:36am
Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Gaya permainan lebih penting - Solskjaer

MANCHESTER, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer mendakwa dia akan diadili menerusi gaya permainan berbanding trofi dimenangi jika dia ditawarkan kontrak sepenuh masa sebagai pengurus Manchester United.

Solskjaer yang dilantik sebagai pemangku pengurus bulan lalu menggantikan Jose Mourinho yang dipecat, menyatakan dengan jelas dia gembira jika kekal di Old Trafford melebihi musim ini apabila tugasnya secara sementara akan tamat.

Bekas penyerang United itu dipinjam dari kelab Norway, Molde, masih belum berbincang dengan naib pengerusi eksekutif, Ed Woodward mengenai perkara itu.

Bagaimanapun dia merasakan kunci untuk mencipta kejayaan ialah kembali kepada bola sepak menarik dan menyerang yang sudah dilakukan kelab sepanjang 27 tahun Alex Ferguson selaku pengurus.

Ferguson menang 38 trofi sebelum bersara pada 2013 tetapi United juga dikenali dengan bola sepak positif dengan penyokong merasakan ia sudah hilang pada tahun terakhir Mourinho berkuasa.

Solskjaer, ketika ditanya apa yang boleh menyumbang kepada kejayaan dan memperbaiki peluangnya untuk diberikan tugas secara kekal, berkata:

“Jika kami akan ke musim panas dan orang bercakap mengenai gaya permainan Manchester United.

“Jika gaya kami bermain, ia mengingatkan kami mengenai Sir Alex, ia mengingatkan kami ketika kami berjaya.”

Solskjaer berkata dia mahu memenangi trofi musim ini tetapi mengatakan gaya permainan buat masa ini adalah lebih penting.

“Ia perlu bermula dengan gaya permainan kami kerana keputusan anda tidak boleh kawal,” katanya. 

“Anda boleh mengawal pendekatan anda dan bagaimana anda bermain.” - AFP

Berita Harian X