Jumaat, 4 Januari 2019 | 11:05pm
Shaakhmedov (tengah atas, baju hitam putih) bergambar dengan peminat sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Terengganu FC sambut Shaakhmedov

KUALA TERENGGANU: Pemain import Terengganu FC (TFC) dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, di sini sebentar tadi.

Sejurus tiba, bekas pemain kelab Lokomotiv Tashkent dalam Liga Uzbekistan berusia 29 tahun itu disambut meriah lebih 100 penyokong setia skuad Peteh Terengganu Peteh.

Seorang peminat, Muhamad Arif Kamal Ismail, 30, dari Kampung Buluh Gading berharap kehadiran pemain tengah itu dapat membentuk persefahaman yang mantap dengan pemain lain biarpun kali pertama beraksi di negara ini.

“Selain itu besar harapan saya dan peminat supaya taktikal ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menjadi kali ini bagi memastikan skuad Penyu mampu melangkah lebih jauh dalam misi merangkul Piala Malaysia musim ini sesudah terlepas musim lalu,” katanya.


Shaakhmedov menandatangani di baju seorang peminat selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Sementara itu, Shaakhmedov belum bersedia untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, bagaimanapun pemain terbaik kelabnya musim lalu itu meluangkan sedikit masa bersama peminat setia skuad itu termasuk bergambar.

Pemain yang membantu kelabnya muncul juara dalam Liga Uzbekistan tiga tahun berturut-turut mulai 2016 dijangka akan memperagakan aksi pertamanya malam esok pada aksi persahabatan bertemu Kelantan di Kota Bharu.

Berita Harian X