Jumaat, 4 Januari 2019 | 6:48pm
TAN Cheng Hoe

Lebih 80 peratus undi Cheng Hoe kekal

KUALA LUMPUR: Impian Tan Cheng Hoe untuk terus mengemudi Harimau Malaya tampak semakin cerah selepas mendapat sokongan padu peminat bola sepak tanah air.

Berdasarkan undian dibuat Berita Harian menerusi laman Facebook dan Twitter, menyaksikan lebih 80 peratus menyokong Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanjutkan kontrak Cheng Hoe.

Lebih 5,700 membuat undian di Facebook Berita Harian Online dengan 82 peratus menyokong Cheng Hoe dikekalkan sementara 18 peratus lagi tidak menyokong.

Bagi undian di twiter Berita Harian pula, lebih 1,200 melakukan undian dengan 85 peratus setuju FAM melanjutkan kontrak bekas pengendali Kedah itu dan hanya 15 peratus tidak bersetuju.

Keputusan undian di kedua-dua platform itu diambil sejak jam 7.30 malam semalam hingga 5 petang tadi. 

Apa pun, nasib sebenar mengenai masa depan Cheng Hoe bersama Harimau Malaya hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsan, Selasa ini.

Cheng Hoe yang tamat kontrak bersama FAM pada Isnin lalu kini masih menunggu keputusan rasmi daripada badan induk itu selepas setahun memikul tugas selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.

Beliau dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada Disember 2017 selepas bekas bosnya dari Portugal, Nelo Vingada sah melepaskan jawatan.

FAM juga dikatakan sudah membuat keputusan untuk menyambung kontrak Cheng Hoe selepas berjaya mencipta kebangkitan dalam skuad Harimau Malaya selain mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan selepas mara ke final Piala AFF, tahun lalu.

Berita Harian X