Jumaat, 4 Januari 2019 | 4:15pm
TAN Cheng Hoe. - NSTP/Asyraf Hamzah

Nasib Cheng Hoe diputus Selasa ini

KUALA LUMPUR: Nasib Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih Harimau Malaya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) yang akan bermesyuarat, Selasa ini.

Situasi itu pasti memberi kelegaan buat Cheng Hoe kerana ia akan menentukan masa depannya selepas kontrak beliau secara rasmi berakhir pada Isnin lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan mesyuarat berkenaan juga akan memutuskan beberapa perkara lain termasuk mengenai kontrak jurulatih futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong.

"Kita ada dua perkara utama yang akan dibincangkan, satu mengenai laporan semua ketua jurulatih bagi setiap peringkat umur termasuk skuad bawah 19 (B-19) bimbingan Bojan Hodak, Ong Kim Swee (B-23) dan Cheng Hoe (Harimau Malaya).

"Perkara kedua adalah perbincangan mengenai kontrak (beberapa) jurulatih yang sudah berakhir. Ia bukan saja membabitkan Cheng Hoe tapi juga jurulatih lain termasuk Chun Yong (futsal) dan pengendali skuad bola sepak wanita kebangsaan (yang berpangkalan) di Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

"Jadi semua itu akan dibincangkan pada Selasa ini dan keputusan juga akan dikeluarkan selepas mesyuarat itu," kata Stuart kepada Sukan NSTP, hari ini.

FAM dijangka akan melanjutkan kontrak Cheng Hoe dengan beberapa syarat baharu diberikan kepada bekas pengendali Kedah itu.

Cheng Hoe yang dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada Disember 2017 berjaya mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan FAM selepas berjaya membawa Harimau Malaya ke final Piala AFF, tahun lalu.

Selain itu, Stuart menjelaskan mesyuarat JPPK juga akan membincangkan mengenai hala tuju dan perancangan buat semua pasukan kebangsaan dengan tumpuan lebih terarah kepada Harimau Malaya yang akan mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada pertengahan tahun ini.

"Pada Selasa ini akan dibincangkan juga mengenai perancangan skuad kebangsaan, tapi tumpuan mungkin akan lebih diberikan kepada skuad Cheng Hoe dengan cabaran yang lebih hebat tahun ini.

"Malah skuad Kim Swee juga akan akan mengharungi kempen kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 tahun 2020 (Mac ini)," katanya.

297 dibaca
Berita Harian X