Khamis, 3 Januari 2019 | 6:28pm
TAN Cheng Hoe. - NSTP/Hafiz Sohaimi

FAM: Perancangan Cheng Hoe tentukan peningkatan skuad negara

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) optimis untuk melanjutkan kontrak pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe namun menegaskan perancangan pengendali berusia 50 tahun itu bakal menentukan hala tuju skuad negara.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan bekas pengendali Kedah itu dalam masa terdekat namun masa depannya akan ditentukan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.

"Kami akan mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa pasukan kebangsaan yang akan bertindak meluluskannya. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kami gembira dengan prestasinya, jadi diharapkan perbincangan dengannya akan mencetuskan perancangan untuk melangkah ke peringkat seterusnya bagi skuad negara.

"Kami juga mahu mendengar perancangannya kerana 2019 adalah tahun penting bagi kelayakan Piala Asia dan Dunia. Jika kami bergerak bersama, perancangannya untuk aksi kelayakan akan memastikan peningkatan seperti di Piala AFF apabila beliau berjaya membentuk pasukan disusuli dengan keputusan yang baik," katanya.

Cheng Hoe menepati KPI sebelum kontraknya sebagai pengendali Harimau Malaya berakhir 31 Disember lalu dengan membawa pasukan kendaliannya muncul naib juara Piala AFF selepas kecundang 3-2 secara agregat kepada Vietnam.

Bulan lalu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memberi bayangan kontrak Cheng Hoe mungkin dilanjutkan apabila berkata FAM akan menilai secara keseluruhan prestasinya selain berbincang mengenai perancangan untuk meningkatkan prestasi Harimau Malaya.

Perancangan Cheng Hoe itu penting kerana Harimau Malaya perlu melakukan persiapan rapi bagi mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pertengahan tahun ini.

Berita Harian X