Khamis, 3 Januari 2019 | 10:17am
Son Heung-Min. - Foto Reuters

Son minta maaf demi Korea

LONDON: Son Heung-Min memohon maaf apabila komitmen antarabangsa dalam kempen Piala Asia 2019 memaksanya meninggalkan Tottenham yang hangat memburu trofi Liga Perdana Inggeris.

Son mungkin berada pada prestasi terbaik kariernya, meledak lapan gol dalam sembilan perlawanan terakhir untuk membantu Spus melonjak kedudukan kedua selain muncul antara pilihan menjuarai liga.

Dia akan beraksi satu lagi perlawanan – menentang Manchester United pada 13 Januari ini sebelum menggalas tanggungjawab antarabangsa di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Spurs mungkin terpaksa melupakan khidmatnya untuk lima perlawanan jika Korea Selatan mara hingga ke pentas final di Abu Dhabi pada 1 Februari.

Son juga terlepas aksi awal musim ini apabila mewakili Korea Selatan dalam Sukan Asia 2018 yang mana dia membantu mereka memenangi pingat emas sekali gus mendapat pengecualian daripada latihan ketenteraan yang wajib di Korea Selatan.

“Sudah tentu saya berasa bersalah kerana saya turut terlepas kempen September lalu,” kata Son selepas menghasilkan satu gol ketika Tottenham meratah Cardiff 3-0.

“Saya ingin meminta maaf kepada rakan sepasukan, penyokong dan jurulatih. Ia amat sukar. Kadang kala anda merasa sedikit sedih, tetapi ini kejohanan yang penting bagi negara saya.

“Saya berharap saya dapat mengekalkan prestasi sama untuk negara dan juga apabila kembali ke sini (England).”

Son dijangka terlepas aksi berdepan Fulham, Watford dan Newcastle di samping pertembungan separuh akhir timbal balik kedua Piala Liga menentang Chelsea.

Spurs pastinya berharap khidmat Son dapat digunakan semula 10 Februari depan untuk bertemu Leicester dalam kempen liga, namun dia mungkin kepenatan tatkala Korea Selatan turun sebagai pilihan kali ini.

Piala Asia akan menyingkap tirainya Sabtu ini, bagaimanapun Korea Selatan dan Tottenham mencapai persetujuan bahawa Son hanya akan membantu negaranya apabila beraksi di peringkat kalah mati. – AP

 

Berita Harian X