Rabu, 2 Januari 2019 | 1:56pm

Shaakhmedov sah milik Penyu

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) menamatkan buruan import terakhir apabila memilih pemain kebangsaan Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov bagi memperkuatkan skuad mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bekas pemain kelab gergasi Liga Uzbekistan, Lokomotiv Tashkent berusia 29 tahun itu bakal membentuk gandingan mantap jentera tengah skuad Penyu bersama dua lagi pemain import, Lee Tuck dan Thierry Chantha Bin.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata, pemain itu adalah bagi kuota Asia menggantikan pemain Korea Selatan, Dong Do Hyun yang gagal menyerlah musim lalu.

"Pengesahan Sanjar sebagai pemain import kelima menamatkan penantian peminat selepas pemain tengah menyerang itu kini milik TFC.

"Berdasarkan rekod, Sanjar bekas pemain terbaik kelab Lokomotiv Tashkent musim lalu yang muncul juara Liga Uzbekistan tiga tahun berturut-turut mulai 2016 dan merupakan pemain import terakhir diikat TFC.

"Pemain itu juga berpengalaman beraksi dalam saingan Piala AFC selama tiga tahun dan berharap kehadirannya bakal memberi impak dan berita gembira buat pasukan serta peminat setia.

"Jika semua berjalan lancar, pemain beragama Islam yang turut diintai kelab dari Qatar itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada Jumaat ini kira-kira jam 3.30 petang," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Selain pemain import terbaharu itu, sebelum ini PBSNT mengekalkan empat pemain asing termasuk Tuck (England), Chantha Bin (Kemboja), Igor Zonjic (Montenegro) dan penyerang sensasi kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche.

Berita Harian X