Selasa, 1 Januari 2019 | 4:33pm
TAN Cheng Hoe

Masa depan Cheng Hoe jadi tanda tanya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum membuat keputusan rasmi mengenai masa depan jurulatih Tan Cheng Hoe bersama Harimau Malaya.

Jika berdasarkan penjelasan badan induk itu sebelum ini, Cheng Hoe kini dianggap tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kontraknya dilaporkan berakhir semalam.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam ketika dihubungi mengesahkan belum ada sebarang keputusan sama ada kontrak Cheng Hoe akan dilanjutkan atau sebaliknya.

"Ketika ini Cheng Hoe sedang bercuti dan akan kembali minggu ini. Jadi, kami akan mengadakan satu mesyuarat sebaik saja memuktamadkan tarikhnya," kata Stuart kepada Sukan NSTP, hari ini.

Sebelum ini, Stuart menjangkakan akan ada perbincangan lanjut daripada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan hujung bulan lalu bagi menentukan masa depan Cheng Hoe.

Namun, sehingga kini tiada sebarang keputusan yang dibuat sekali gus menyaksikan masa depan Cheng Hoe masih tergantung walaupun Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam laporan sebelum ini memberi bayangan bahawa bekas pengendali Kedah itu memiliki kelebihan untuk dikekalkan.

Cheng Hoe dilantik membimbing Harimau Malaya pada Disember 2017 selepas Nelo Vingada meletakkan jawatan dan beliau dilihat berjaya membawa sedikit perubahan dalam prestasi semasa Harimau Malaya.

Kejayaan mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan FAM - mara ke final Piala AFF 2018 - dikatakan menjadi kelebihan utama buat Cheng Hoe untuk kekal mengemudi Harimau Malaya.

Namun, segala keputusan tetap bergantung kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang akan menilai keseluruhan prestasi Harimau Malaya di bawah Cheng Hoe.

808 dibaca
Berita Harian X