Selasa, 1 Januari 2019 | 7:39am
Emery didenda £8,000 (RM42,000) semalam kerana menendang botol air ke arah penonton. - Foto EPA

Emery didenda RM42,000 sepak botol air

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery didenda £8,000 (RM42,000) semalam kerana menendang botol air ke arah penonton ketika pasukannya seri di Brighton pada 26 Disember lalu selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris.

“Unai Emery didenda £8,000 selepas beliau mengaku bersalah terhadap dakwaan salah laku FA dan menerima hukuman standard,” umum badan induk bola sepak Inggeris itu dalam satu kenyataan.

FA mengumumkan Khamis lalu pengendali dari Sepanyol itu dituduh terhadap insiden itu - yang berlaku selepas tamat aksi Liga Perdana Inggeris apabila Gunners seri 1-1 di pantai selatan - sekalipun Emery sendiri berharap permohonan maafnya kepada penyokong tuan rumah cukup untuk menyaksikannya terlepas hukuman itu.

“Saya harap, ya,” kata bekas bos Paris Saint-Germain itu apabila ditanya sama ada permohonan maaf boleh menamatkan perkara itu.

“Tapi saya perlu menghormati keputusan kerana ia akibat daripada tindakan saya cuma hakikatnya saya tidak berniat untuk melakukannya terhadap penyokong. Saya meminta maaf kepada mereka.”

Emery bagaimanapun terlepas hukuman tidak berada di tepi padang dan bebas mengendalikan pasukan apabila Fulham berkunjung ke Emirates malam ini. - AFP

Berita Harian X