Selasa, 1 Januari 2019 | 7:35am
Sanchez dibeli Januari tahun lalu dari Arsenal dan dilaporkan menerima kontrak paling lumayan dalam sejarah Liga Perdana Inggeris. - Foto Reuters

Sanchez tak sabar temui sentuhan gol

MANCHESTER, England: Selepas menjaringkan 12 gol dalam tiga perlawanan di bawah kendalian jurulatih sementara Ole Gunnar Solskjaer, Manchester United boleh menambah senjata serangan di Newcastle, esok dengan Alexis Sanchez bersedia untuk kembali daripada kecederaan.

Bintang Chile itu diketepikan kerana kecederaan hamstring sejak bulan lalu bermakna dia terlepas hari terakhir Jose Mourinho berkuasa di Old Trafford.

Sanchez dibeli Januari tahun lalu dari Arsenal dan dilaporkan menerima kontrak paling lumayan dalam sejarah Liga Perdana Inggeris namun setakat ini gagal menampilkan apa yang diharapkan dengan hanya menjaringkan empat gol dalam 30 penampilan.

Bagaimanapun Solskjaer percaya pendekatan lebih positif yang sudah dilaksanakannya selepas kemenangan mengatasi Cardiff, Huddersfield dan Bournemouth untuk memulakan tugas sementaranya hingga penamat musim, sesuai dengan gaya permainan Sanchez.

“Dia pemain yang sesuai daripada sistem penggiliran (posisi) serta pergerakan dan lebih banyak peluang anda cipta, lebih banyak anda dapat bola untuk dibawa ke atas, dia akan menjadi aset buat kami,” kata Solskjaer.

“Saya rasa dia tidak sabar untuk melakukannya. Ia hampir pasti tampak seperti semalam (Sabtu) dalam sesi (latihan) kerana dia menjaringkan beberapa gol cantik, ia memberi galakan.”

Solskjaer dipuji kerana mengembalikan asas bola sepak menyerang United selepas dua setengah musim dengan pendekatan lebih berhati-hati Mourinho.

Diketepikan oleh Mourinho dalam tiga perlawanan terakhir, Paul Pogba bangkit dengan menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan terakhir manakala Marcus Rashford dan Anthony Martial juga tampak menyerlah dengan lebih banyak ruang untuk menyerang.

Bagaimanapun Solskjaer menegaskan dia hanya melakukan apa dipelajarinya sejak 11 musim selaku pemain di bawah Alex Ferguson di Old Trafford.

Prestasi United menurun sejak lima tahun lalu sejak persaraan Ferguson dan Solskjaer berkata, beliau menjemput pengurus paling berjaya kelab itu untuk melawat pemain dan staf termasuk seorang bekas pembantu Ferguson, Mike Phelan di pusat latihan United dekat Carrington. - AFP

2421 dibaca
Berita Harian X