Isnin, 31 Disember 2018 | 9:46pm
FIRMINO (kiri), Mane (tengah) dan Salah.

Trio serangan Liverpool 'menakutkan' 

LONDON: Tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk menghambur pujian terhadap trio serangan The Reds, Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane dengan melabel mereka sebagai ‘menggerunkan’.

Gol daripada Salah, Firmino dan Mane menyaksikan Liverpool menewaskan Arsenal 5-1 di Anfield, Sabtu lalu sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan itu di puncak carta Liga Perdana Inggeris.

Firmino meledak hatrik dengan Salah dan Mane masing-masing menyumbang gol dalam perlawanan menarik itu sebelum Liverpool dijadual bertemu penyandang juara, Manchester City, Khamis ini.

“Kami hampir sempurna. Kami melepaskan gol. Itu satu-satunya kekurangan,” kata Van Dijk. “Tetapi ia adalah kemenangan yang penting.

“Kami menamatkan 2018 dengan amat baik, dan kami berharap dapat meneruskannya. Keyakinan jelas ada, tetapi ia boleh berubah selepas beberapa perlawanan. Kami tidak boleh terlalu terbawa-bawa.

“Kami perlu terus melakukan apa yang kami sedang lakukan. Akan ada kesakitan, kerana ia adalah kehidupan, tetapi apa yang penting adalah bagaimana tindak balas kamu dan setakat ini kami melakukannya dengan baik.

“Di permulaan musim, orang berkata mereka (trio serangan Liverpool) tidak serasi. Mereka menakjubkan. Kamu dapat melihatnya pada perlawanan ini dan mereka juga boleh bertahan. Ia menakutkan, dan saya gembira untuk melihatnya.”

Liverpool ketika ini memiliki kelebihan tujuh mata di depan pasukan tangga kedua, Manchester City dan sembilan mata di depan pasukan tangga ketiga, Tottenham.

Perlawanan membabitkan skuad kendalian Jurgen Klopp menentang skuad kendalian Pep Guardiola disifatkan sebagai penentu kejuaraan musim ini selepas City bangkit menamatkan kekalahan dengan menewaskan Southampton, semalam. - Agensi

Berita Harian X