Isnin, 31 Disember 2018 | 7:47am
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba cuba melepasi pemain Bournemouth, Steve Cook pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Pogba terus 'mengganas'

MANCHESTER: Tiga kemenangan dalam tiga perlawanan buat Manchester United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer, 12 gol terhasil untuk penyokong Old Trafford kembali menikmati bola sepak sama seperti barisan pemainnya.

Tiada siapa di United mahu bercakap mengenai bekas pengurus Jose Mourinho lagi tatkala namanya sudah tersimpan di dalam sejarah kelab, namun berbeza dengan Paul Pogba yang mahu membuktikan sesuatu.

Pogba meledak dua jaringan ketika mengatasi Bournemouth 4-1 awal pagi tadi, selepas turut menyumbat dua gol menentang Huddersfield, keyakinan dan aksi positifnya sepanjang perlawanan sudah tentu amat menggembirakan selepas dia sering menjadi mangsa kritikan Mourinho.

“Kami adalah Manchester United dan kami perlu berada di persada liga, itu hanya sebahagian daripada tindak balas pemain dan kami semua menikmatinya,” kata Pogba.


PEMAIN Manchester United, Paul Pogba menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters

“Ia amat berbeza, kami juga memenangi aksi ketika di bawah bekas pengurus, tetapi dengan gaya permainan berbeza, kami lebih menyerang sekarang ini dan mencipta lebih banyak peluang,” katanya.

“Saya sentiasa melakukan dengan lebih, tetapi pada masa sama saya mahu beraksi untuk pasukan dan bermain secara mudah.”

Selepas kemenangan ke atas Cardiff City dan Huddersfield, United terus tampil dengan corak permainan memukau, sesuatu yang gagal dijelmakan sewaktu di bawah kendalian Mourinho.

“Kami memerlukan kemenangan dan kami bermain hebat. Kami kembali, dan perjalanan ini masih jauh untuk tamat, tetapi untuk mengakhirinya dengan cara begini adalah amat baik,” kata Pogba.

Malah, persembahan hebat bekas tonggak Juventus itu yang menjadi sebahagian daripada skuad pemenang Piala Dunia Perancis turut mendapat pujian Solskjaer.

“Ini adalah satu persembahan yang hebat daripada seorang pemain tengah kerana semuanya disajikannya dari segi kerja keras, menjadi berbahaya di dalam kotak penalti, memenangi tandukan, memenangi bola dan tiada langsung cacat cela,” kata pengurus sementara United itu. – REUTERS


PEMAIN Manchester United, Paul Pogba (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Bournemouth pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X