Ahad, 30 Disember 2018 | 12:56pm
Pemain pasukan Pahang, Nor Azam Azih. - Arkib NSTP

Azam idam aksi Pestabola Merdeka

KUANTAN: Nor Azam Azih terlepas peluang beraksi pada Piala AFF baru-baru ini namun percaya peluang buatnya kembali bersama Harimau Malaya masih ada.

Justeru, pemain Pahang itu mahu saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula Februari ini menjadi medan terbaik untuk merebut tempat ke saingan Pestabola Merdeka, Mac depan.

“Saya akui terkilan apabila tidak disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala AFF lalu. Tapi ia tidak memadam misi saya untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Pestabola Merdeka yang akan dilangsungkan Mac depan adalah masa terbaik untuk membantu skuad negara meraih kejayaan.

“Oleh itu, saya akan pastikan saingan Liga-M sebagai misi untuk meyakinkan jurulatih (Tan Cheng Hoe) memilih saya dalam skuad Harimau Malaya,” katanya.

Jumaat lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan membariskan skuad senior kebangsaan bagi kejohanan Pestabola Merdeka, Mac depan.

Justeru, ia peluang terbaik buat Nor Azam, 23, selepas namanya digugurkan dalam senarai 23 pemain skuad ke Piala AFF. Malaysia muncul naib juara Piala AFF selepas tewas 2-3 secara agregat di tangan Vietnam.

Berita Harian X