Ahad, 30 Disember 2018 | 10:11am
Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Solskjaer mahu pujuk De Gea, Martial

MANCHESTER, England: Ole Gunnar Solskjaer mungkin sekadar mengendali Manchester United hingga hujung musim ini namun pengurus sementara itu mahu Anthony Martial dan David de Gea menandatangani kontrak jangka panjang di Old Trafford.

United sudah mengaktifkan sambungan kontrak setahun terhadap dua pemain itu baru-baru ini, bermakna mereka terikat dengan kelab itu hingga hujung musim depan.

Namun penyerang Perancis, Martial dan penjaga gol Sepanyol, De Gea masih gagal dalam rundingan bersama naib pengerusi eksekutif Ed Woodward mengenai kontrak jangka panjang dengan tiada tanda ia berjaya dimuktamadkan.

Solskjaer yang mempunyai kontrak bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu hingga musim panas ini, mungkin tidak mempunyai kuasa menentukan strategi jangka panjang United.

Namun bekas penyerang popular United itu, yang mengukuhkan harapannya menjadi pengurus tetap dengan dua kemenangan meyakinkan ke atas Cardiff dan Huddersfield dalam dua perlawanan pertama kendaliannya, jelas mahu membantu dua tonggak utama itu kekal di Old Trafford.

“Saya tahu kelab mahukan mereka menandatangani kontrak, sudah tentu, kerana mereka pemain berkualiti,” kata Solskjaer.

“Terpulang kepada pemain, tapi apabila anda berada di Man United tiada gunanya ke tempat lain.

“Anda berada di tempat terbaik. Ia kelab terbesar di dunia.

“Saya berharap boleh membantu atau menasihatkan pemain ini supaya mereka kekal di sini.”

Solskjaer, pelantikannya sebagai pengurus sementara menggantikan Jose Mourinho yang dipecat jelas amat popular dengan penyokong kelab, menghabiskan 11 tahun sebagai pemain United hingga kecederaan menamatkan kariernya pada 2007. - AFP

2107 dibaca
Berita Harian X