Ahad, 30 Disember 2018 | 7:19am
PENGENDALI, Jurgen Klopp. - Foto EPA

Klopp mahu pemain kekal fokus

LONDON: Jurgen Klopp enggan terbawa-bawa dengan harapan yang semakin menebal bahawa Liverpool mampu menjuarai Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 29 tahun dengan berharap pemainnya kekal fokus selepas membelasah Arsenal 5-1, awal pagi tadi.

Hatrik Roberto Firmino - pertama oleh pemain Liverpool menentang Gunners sejak Peter Crouch pada 2007 – selain jaringan  Mohamed Salah dan Sadio Mane memastikan trio jentera serangan Reds meledak jaringan dalam satu perlawanan musim ini.

Ia memberikan kelebihan sembilan mata kepada Liverpool mengatasi Tottenham Hotspur yang tewas mengejut 1-3 di laman sendiri kepada Wolverhampton Wanderers dan 10 mata mengatasi juara bertahan, Manchester City yang menentang Southampton malam ini.

Klopp bagaimanapun merendah diri terutamanya menjelang kemungkinan pertemuan dengan Manchester City pada Khamis yang mungkin menjadi penentu kejuaraan.

"Ia persembahan yang hebat menentang lawan yang bagus dan reaksi balas kami (selepas ketinggalan) adalah sangat luar biasa," kata Klopp.

Beliau juga menegaskan kekalahan Tottenham tidak memberi kesan kepada pemainnya.

"Sudah pasti keputusan mencetuskan reaksi peminat namun bukan di bilik persalinan kerana mereka amat fokus kepada perlawanan dan tidak mempengaruhi.

"Ini yang saya mahu pemain kekalkan iaitu fokus dan tidak memikirkan perkara lain.'

Pertahanan tengah Liverpool, Virgil van Dijk yang dibeli untuk memperkukuhkan benteng berkata tugas mereka masih belum selesai namun adalah menggembirakan dia dapat menjadi sebahagian skuad.

"Banyak perkara perlu ditingkatkan namun kami gembira tahap ketika ini dan perlu meneruskan intensiti tinggi serta cara ini," kata pemain berusia 27 tahun itu.

"Semuanya tidak mustahil. Kami dalam rentak yang bagus, ia sukar namun bangga sebagai pemain Liverpool."- AFP

715 dibaca
Berita Harian X