Sabtu, 29 Disember 2018 | 7:19pm
Bekas pertahanan kebangsaan, Datuk Santokh Singh. - Arkib NSTP

Pestabola Merdeka tambah seri kalendar 2019

KUALA LUMPUR: Kalendar bola sepak 2019 nyata akan lebih berseri selepas Pestabola Merdeka yang ‘hilang’ selama lima tahun akhirnya membuat kemunculan semula tahun ini.

Memegang status sebagai antara kejohanan tertua di benua Asia, mengatasi Piala Raja Thailand dan Piala Korea Selatan, Pestabola Merdeka adalah kejohanan jemputan yang mula membuka tirainya pada 1957.

Kejohanan berprestij itu diadakan bertujuan meraikan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia dan meskipun dijadikan acara tahunan, ia pernah tidak dilangsungkan untuk beberapa edisi atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

Kejohanan terbabit mencapai detik gemilangnya pada era 1960-an hingga 1980-an apabila disertai gergasi bola sepak Asia seperti Korea Selatan dan Jepun yang menghantar pasukan utama mereka sebelum mula disertai pasukan dari benua lain seperti Eropah dan Amerika Latin.

Edisi pertama Pestabola Merdeka diadakan pada Ogos dan September 1957 yang menyaksikan Pilihan Liga Hong Kong menjuarai kejuaraan sulung itu.

Bagaimanapun, Malaysia menunjukkan taring sebagai tuan rumah apabila menjuarai 10 edisi termasuk dua yang dimenangi skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) diikuti Korea Selatan, Myanmar dan Indonesia.

Malah, Pestabola Merdeka turut bersifat 'universal' yang menyaksikan ia dirangkul pasukan dari luar benua Asia seperti Pilihan Buenos Aires, Pasukan Olimpik Czechoslovakia, Hamburger SV dan SK Admira Wacker.

Sementara itu, bekas pertahanan kebangsaan, Datuk Santokh Singh menegaskan saingan itu tetap relevan meskipun saingan itu sudah berusia lebih 60 tahun.

"Pestabola Merdeka ini ada prestij yang tersendiri dan cadangan yang bagus untuk menghidupkan semula saingan Pestabola Merdeka selepas tidak dilangsungkan selama lima tahun.

"Apa yang saya harapkan daripada penganjuran kali ini adalah semua pasukan termasuk Malaysia dapat menghantar pasukan terbaik seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Saya yakin edisi kali ini akan mendapat sambutan yang hangat penyokong kerana mereka sudah tentu tidak sabar untuk menantikan pasukan negara beraksi," katanya.

 

Senarai juara Pestabola Merdeka

1957    Pilihan Liga Hong Kong

1958     Malaya        

1959     Malaya

1960     Malaya dan Korea Selatan (juara bersama)

 1961    Indonesia     

1962    Indonesia     

1963    Taiwan

1964    Burma     

1965    Korea Selatan dan Taiwan (juara bersama)

1966    Vietnam Selatan     

1967    Yangzee FC dan Myanmar  ((juara bersama)

1968    Malaysia         

1969    Indonesia     

1970    Korea Selatan    

1971    Myanmar     

1972    Korea Selatan     

1973    Malaysia         

1974    Malaysia     

1975    Korea Selatan    

1976    Malaysia     

1977    Korea Selatan         

1978    Korea Selatan     

1979    Korea Selatan B dan Malaysia (juara bersama)

 1980     Maghribi         

1981    Iraq        

1982    Pilihan Santa Catarina 

1983    Pilihan Buenos Aires     

1984    Korea Selatan B     

1985    Korea Selatan B 

1986    Malaysia     

1987    Pasukan Olimpik Czechoslovakia

1988    Hamburger SV (Jerman Barat)    

1989–90     Tidak dianjurkan

1991    SK Admira Wacker         

1992    Tidak dianjurkan

1993    Malaysia        

1994    Tidak dianjurkan

1995    Iraq    

1996–99    Tidak dianjurkan

2000    New Zealand     

2001    Uzbekistan        

2002–05    Tidak dianjurkan

2006    Myanmar         

2007     Skuad B-23 Malaysia 

2008    Skuad B-22 Vietnam 

2009–12    Tidak dianjurkan

2013    Skuad B-23 Malaysia    

2014–17    Tidak dianjurkan

1002 dibaca
Berita Harian X