Sabtu, 29 Disember 2018 | 6:46pm
Akhyar Rashid - OSMAN ADNAN

Harga Akhyar RM12 juta!

KUALA LUMPUR: RM12 juta! Itu harga yang perlu dibayar oleh mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat pemain baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid selepas ini.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi kenyataan di laman Johor Southern Tigers (JST) mengesahkan mereka menambah klausa pelepasan ke atas kontrak Akhyar yang ditandatangani untuk kontrak empat tahun.

"JDT berasa gembira menandatangani pemain berusia 19 tahun, Akhyar Rashid dengan kontrak empat tahun. JDT juga menambah klausa pelepasan perpindahan bernilai RM12 juta ke atas kontrak Akhyar.

"Terdapat yuran pembangunan sebanyak RM75,000 yang perlu dibayar kepada bekas kelab pemain itu dan sebagai tanda hormat kepada pasukan Kedah yang sudah membangunkan bakat Akhyar, JDT akan membayar mereka RM100,000," katanya.

Terdahulu, JDT mengumumkan mereka sudah mengikat pemain muda itu ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) masih berbalah mengenai isu perpindahan pemain terbabit.

Sedikit berbeza berbanding pengumuman pemain baharu skuad Harimau Selatan sebelum ini, pengumuman pemain berusia 19 tahun itu dilakukan menerusi klip video pendek berdurasi 35 saat.

Klip video bermula dengan pemain tanpa wajah yang menyarung jersi JDT membuka pintu ke bilik persalinan dan kemudiannya tertera kata aluan 'Selamat Datang ke JDT' disusuli dengan gambar Akhyar di penghujung klip video terbabit.

Klip video itu nyata mencuri tumpuan pelayar internet apabila meraih lebih 500 komen dan kira-kira 900 perkongsian hanya dalam tempoh sejam selepas dimuat naik ke laman itu.

7183 dibaca
Berita Harian X