Sabtu, 29 Disember 2018 | 12:51pm
Paul Pogba (kanan) meraikan jaringannya ketika bertemu Huddersfield Town di Old Trafford, pada Rabu. - Foto AFP

Lingard, Rashford, Martial, Pogba wajah utama United

MANCHESTER: Manchester United sedang memburu pengurus tetap baharu yang mahu membina pasukan itu di sekeliling Marcus Rashford, Anthony Martial, Jesse Lingard dan Paul Pogba.

Red Devils akan membuat pencarian menyeluruh untuk posisi pengurus tetap seterusnya selepas melantik Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengganti sementara buat Jose Mourinho yang dipecat.

Walaupun menjadikan kedudukan buruk United dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai alasan utama memecat Mourinho, tetapi sebenarnya difahamkan ia lebih berpunca daripada rasa bimbang United dengan keputusan beberapa pemain - seperti David De Gea dan Martial - yang enggan melakukan perbincangan untuk melanjutkan kontrak selagi pengendali dari Portugal itu kekal mengendalikan pasukan.

United sudah mengenal pasti pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino sebagai calon pilihan, namun walau siapapun pengurus, kelab itu mahu pasukan itu dibina berdasarkan identiti kuartet serangan itu.


Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Ahli lembaga United tidak mahu melepaskan Pogba dan mahu menjadikan bintang Perancis itu sebagai wajah utama masa depan kelab.

Sementara itu, Solskjaer mengesahkan kepulangan beberapa pemain United bagi menghadapi aksi terakhir 2018 menentang Bournemouth di Old Trafford, esok.

Pengurus dari Norway itu ketika bercakap kepada media menjelang aksi berkenaan, mendedahkan Romelu Lukaku, Alexis Sanchez dan Martial sudah menjalani latihan di Kompleks Latihan Aon semalam selepas semuanya tidak beraksi ketika menang 3-1 ke atas Huddersfield.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan besar Marcos Rojo dan Scott McTominay boleh kembali menyertai latihan tidak lama lagi, selain mengesahkan Chris Smalling dijangka tidak beraksi sehingga pertemuan dengan Tottenham pada 13 Januari nanti.

"Kami tidak sempat menjalani banyak latihan sejak (perlawanan dengan Huddersfield)," katanya. "Kami bercuti Rabu lalu, jadi semalam hari pertama kami berlatih semula.

"Lukaku, Anthony (Martial) dan Alexis sudah menjalani latihan ringan, jadi harapan saya mereka dapat menjalani latihan penuh hari ini." - Agensi

Berita Harian X