Sabtu, 29 Disember 2018 | 1:29am
EDEN Hazard - Foto Reuters

Tunggu hujung musim: Hazard

LONDON: Bintang Chelsea, Eden Hazard berkata dia akan membuat keputusan mengenai masa depannya selepas musim ini berakhir di sebalik minat mendalam yang ditunjukkan Real Madrid.

Kontrak Hazard di Stamford Bridge berakhir pada 2020 tetapi perpindahan mengiurkan untuk menyertai gergasi Sepanyol, Real yang juga penyandang trofi Liga Juara-Juara berterusan menjadi berita utama.

Pemain sayap Belgium itu baru-baru ini mengakui ingin bergelar ‘legenda’ di Chelsea menyertai jejak langkah John Terry, Didier Drogba dan Frank Lampard tetapi dia kemudian menjelaskan masih belum berfikir mengenai masa depannya sama ada kekal atau berpindah.

“Saya hanya memberi tumpuan yang penuh di atas padang,” kata pemain berusia 27 tahun itu. “Saya akan melihatnya kembali selepas musim ini menutup tirainya.”

Hazard sudah meledak 101 gol bersama Chelsea sejak tiba dari Lille pada 2012 dan pada musim ini, dia sudah menjaringkan 10 dalam kempen Liga Perdana selain melakukan sembilan umpanan gol.

Pada Oktober lalu, pemain lincah ini menyifatkan perpindahan ke Sepanyol sebagai ‘mimpi’ jadi kenyataan.

Bekas bintang Chelsea, Michael Essien, yang turut beraksi bersama Real menyifatkan semua pemain gembira untuk bermain bersama Galaticos tetapi berharap Hazard kekal di Stamford Bridge.

Chelsea ketika ini menghuni tangga keempat Liga Perdana dan ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Liverpool menjelang aksi menentang Crystal Palace, Ahad ini. - AGENSI

Berita Harian X