Jumaat, 28 Disember 2018 | 5:29pm
Skuad Pahang dijangka mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab Thailand, bulan depan. - NSTP/Owee Ah Chun

Pahang 'panas badan' di Thailand

KUANTAN: Thailand menjadi destinasi pasukan Pahang untuk menilai prestasi pemain sebagai persediaan mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan. 

Skuad kendalian Dollah Salleh itu dijangka mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab Thailand, bulan depan. 

Dollah berkata, kunjungan ke negara jiran itu diyakini dapat meningkatkan kualiti pasukan sebaik tirai Liga M bermula Februari depan. 

"Saya harap semua pemain dapat memberi sepenuh komitmen kerana persefahaman dan tahap kecergasan menjadi keutamaan untuk memastikan Pahang berada pada tahap terbaik musim depan," katanya. 

Difahamkan, kunjungan Tok Gajah ke Thailand bukan saja untuk menilai prestasi pemain, malah menguji pemain import untuk diserapkan ke dalam skuad itu. 

Ini kerana Pahang menamatkan khidmat tiga pemain import musim ini iaitu Patrick Cruz, Austin Amutu dan Issey Nakajima. 

Setakat ini, Pahang mengesahkan penyerang Jamaica, Errol Stevens dan bekas pemain Melaka United, Lee Chang Hoon dari Korea Selatan sedang menjalani sesi ujian pemilihan. 

Baru-baru ini, Pahang mengadakan dua aksi persahabatan yang menyaksikan skuad itu merekodkan kemenangan ke atas UiTM FC 3-1 dan Selangor United 2-0.

Berita Harian X