Jumaat, 28 Disember 2018 | 11:27am
TOBY Alderweireld. - Foto EPA

Spurs sedia sambung kontrak Alderweireld

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino menyatakan kelab itu akan melanjutkan kontrak pemain pertahanan Toby Alderweireld untuk tempoh setahun lagi bagi mengekalkan pemain itu hingga 2020.

Ia dilakukan bagi menghalang pemain kebangsaan Belgium, Alderweireld yang dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United oleh media British daripada meninggalkan kelab secara percuma hujung musim ini.

Ditanya sama ada Spurs mempunyai hasrat untuk mencetuskan klausa, Pochettino dalam satu sidang media berkata: “Ya, sudah pasti, ia amat jelas. Situasi sama seperti Jan (Vertonghen).”

Awal bulan ini, Spurs cuba melanjutkan kontrak pertahanan tengah, Vertonghen hingga 2020.

Alderweireld yang tiba di White Hart Lane pada Julai 2015 dari Atletico Madrid, menjadi salah seorang pemain tonggak pasukan utara London itu musim ini dengan membuat 24 penampilan dalam semua pertandingan.

Dengan memenangi lima perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum ini, Spurs ketika ini berada di tangga kedua ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Namun Pochettino berkata, masih terlalu awal untuk menggambarkan Tottenham selaku pesaing utama liga.

“Kami berada di sana kerana pasukan mempunyai kepercayaan, sebabnya kami berusaha gigih dan sudah pasti kami memiliki kualiti,” katanya.

“Sukar untuk berada di posisi kami ketika ini. Kami masih tertanya-tanya. Anda akan lihat sekiranya pasukan ini berkemampuan konsisten untuk keseluruhan musim seperti dilakukan pada babak pertama musim. Kemudian baharu anda boleh bercakap mengenai kemampuan pasukan untuk bersaing memburu sesuatu yang lebih besar.” - Reuters

238 dibaca
Berita Harian X