Khamis, 27 Disember 2018 | 3:32pm
Cheng Hoe dijangka kekal dengan khidmatnya bakal dilanjutkan oleh FAM. - NSTP/Asyraf Hamzah

Cheng Hoe dijangka kekal kendali Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Berdasarkan kejayaan skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2018 baru-baru ini, kedudukan Tan Cheng Hoe dijangka kekal dengan khidmatnya bakal dilanjutkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Biarpun nasib bekas jurulatih Kedah itu hanya ditentukan pada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) bulan depan, kejayaan mara ke final itu akan menjadi kelebihan utama buat Cheng Hoe untuk dikekalkan tatkala kontraknya bakal berakhir Isnin ini.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, mesyuarat JPPK bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akan menilai prestasi skuad kebangsaan secara menyeluruh termasuk kedudukan Cheng Hoe selaku pengendali.

"Pandangan semua pihak akan diambil kira (dalam mesyuarat JPPK) kerana kadang-kadang setiap individu ada pendapat masing-masing.

"Saya fikir FAM akan meneliti sepenuhnya persembahan Harimau Malaya dan bukan sahaja melihat kepada kejayaan membawa pasukan ke final Piala AFF.

"Namun, saya percaya kejayaan mara ke final selain falsafah bola sepak baharu yang diterapkan oleh Cheng Hoe kepada pasukan kita, saya lihat ia satu kelebihan untuknya dikekalkan.

"Malah, beliau juga berani dan berjaya mengadunkan kombinasi pemain senior dan muda dengan baik sekali sepanjang saingan AFF itu," katanya kepada Sukan NSTP.

Kedudukan Cheng Hoe untuk terus membimbing Harimau Malaya menjadi tanda tanya selepas tamat kempen Piala AFF apabila kontraknya bakal berakhir hujung bulan ini, selepas dilantik menggantikan Nelo Vingada Disember tahun lalu.

Sepanjang membimbing Harimau Malaya, Cheng Hoe berjaya mencatat lapan kali kemenangan, kalah (5), seri (3) serta memperbaiki kedudukan ranking dari 174 kepada 167 dunia.

627 dibaca
Berita Harian X