Khamis, 27 Disember 2018 | 1:34am
PEMAIN Liverpool, Dejan Lovren meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. - Foto EPA

Liverpool kukuhkan cengkaman, City gigit jari

LONDON: Liverpool memberikan hadiah Krismas paling menarik buat penyokongnya apabila membenam Newcastle United 4-0 di Anfield, sekaligus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Liverpool mengumpul 51 mata selepas mengharungi separuh daripada aksi liga musim ini, dengan kelebihan enam mata berbanding Tottenham Hotspur di tangga kedua.

Spurs merampas kedudukan kedua daripada Manchester City selepas menang besar 5-0 ke atas Bournemouth, manakala penyandang juara, City tumbang 1-2 kepada Leicester City.

Selepas kembali ke kelab yang pernah dibimbing sehingga bergelar juara Liga Juara-Juara 2005, pengurus Newcastle, Rafael Benitez menerapkan gaya permainan bertahan dengan lima pemain di barisan pertahanan.


PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dalam perlawanan menentang Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. - Foto EPA

Namun, pemain pertahanan, Jamaal Lascelles gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sekaligus menyaksikan Dejan Lovren ketika meraih gol pertama menerusi sepakan voli menarik pada minit ke-11.

Newcastle bertahan sehingga tamat babak pertama, namun bolos lagi seawal minit kedua di babak kedua, apabila Mohamed Salah dijatuhkan Paul Dummett. Pemain Mesir ini menjaringkan gol menerusi sepakan penalti - gol ke-13 liga setakat ini.

Liverpool meneruskan tekanan dan meraih gol ketiga menerusi Xherdan Shaqiri yang menolak mudah bola hantaran Trent Alexander-Arnold pada minit ke-79. Fabinho kemudiannya menjaringkan gol keempat tuan rumah apabila menanduk masuk bola sepakan sudut Salah.


PEMAIN Liverpool, Xherdan Shaqiri diasak pemain Newcastle United, Mohamed Diame pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. - Foto AFP

Dalam satu lagi pertembungan, Manchester City terus menyaksikan perjalanan mereka untuk mempertahankan gelaran terus terganggu apabila tumbang kali kedua berturut-turut - kali ini dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Leicester City.

Dalam perlawanan tadi, skuad bimbingan Pep Guardiola mendahului saingan menerusi jaringan Bernardo Silva pada minit ke-14, namun Marc Albrighton menyamakan kedudukan buat Leicester lima minit selepas itu.


PEMAIN Manchester City, Bernardo Silva mengasak pemain Leicester City, Hamza Choudhury pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power. - Foto AFP

Kemudian, Ricardo Pereira meledak jaringan kemenangan Leicester pada minit ke-81 untuk mengesahkan kemenangan mutlak milik tuan rumah.

Kekalahan ketiga City dalam empat perlawanan terakhir itu menyaksikan kedudukan mereka merosot ke tangga ketiga liga dan kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Liverpool.


PEMAIN Leicester City, Ricardo Pereira menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power. - Foto Reuters

Berita Harian X