Rabu, 26 Disember 2018 | 4:30pm
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam. - NSTP/Mahzir Mat Isa

FAM optimis pasukan terbaik beraksi di Pestabola Merdeka

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) optimis setiap pasukan yang dijemput menyertai Pestabola Merdeka akan menghantar pasukan terbaik masing-masing bagi menyemarakkan lagi kejohanan tertua di Asia itu.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, ini kerana pertandingan terbabit akan berlangsung pada Mac dan diadakan pada waktu kalendar Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus memberi peluang kepada setiap pasukan untuk mengutip mata bagi memperbaiki ranking.

Katanya, jemputan untuk menyertai kejohanan itu sudah dihantar kepada negara serantau namun FAM masih belum mendapat apa-apa maklum balas rasmi.

"Antara sebab Pestabola Merdeka dianjak ke bulan Mac dan bukannya Januari adalah kerana kita mahu ia berlangsung dalam kalendar FIFA dan ini membolehkan setiap pasukan menghantar pasukan terbaik mereka bagi menghadapi aksi kelas 'A'.

"Jika ia berlangsung di luar kalendar FIFA, mungkin agak sukar untuk kita mendapatkan kerjasama daripada pasukan yang akan bertanding.

"Apapun, kita memang ada perancangan untuk melangsungkan dua aksi persahabatan pada tempoh kalendar FIFA itu dan dengan penyertaan empat pasukan sekalipun, kita sudah boleh menganjurkan Pestabola Merdeka," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan badan induk itu perlu meletakkan garis panduan terhadap penyertaan pasukan yang akan menyertainya bagi menjaga kualiti dan prestij kejohanan itu.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, ia wajar bagi memastikan pasukan yang mahu menyertainya menghantar pasukan terbaik dan bukannya pasukan 'cap ayam'.

Selepas lima tahun tidak diadakan, Pestabola Merdeka akan kembali diadakan yang menyaksikan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara menjuarai edisi terakhir pada 2013 selepas menundukkan skuad B-23 Myanmar 2-0. 

Berita Harian X