Selasa, 25 Disember 2018 | 11:03pm
Roy Hodgson. - Foto EPA

Palace cukup yakin mampu ratah Cardiff 

LONDON: Selepas melakar kemenangan mengejut ke atas Manchester City, kini Crystal Palace berada pada tahap keyakinan cukup tinggi ketika menanti kunjungan Cardiff menjelang ‘Boxing Day’ dan tidak sabar untuk meraih kemenangan seterusnya.

Kelab London itu bangkit daripada ketinggalan, sebelum dapat menewaskan juara bertahan Liga Perdana itu 3-2 di Stadium Etihad, pada pertembungan Sabtu lalu.

Ia satu keputusan yang tidak dijangka kerana setakat ini, Palace hanya mampu melakar dua kemenangan daripada 11 perlawanan terakhir, tetapi skuad bimbingan Roy Hodgson dilihat sudah bersedia mengekalkan momentum itu.

Kali ini, mereka bakal bertemu Cardiff yang mempunyai karakter berbeza di bawah bimbingan Neil Warnock.

Pemain tengah, Luka Milivojevic yang menjaringkan gol ketiga Palace ketika bertemu City berkata: "Ia pasti satu perlawanan yang sangat berbeza. Kami beraksi dengan baik apabila meraih tiga mata ketika bertemu City dan ia cukup membanggakan.

"Ia juga memberi lebih keyakinan kepada kami untuk perlawanan seterusnya."

Kunci kejayaan Palace ketika bertemu City adalah sentiasa berdisiplin ketika bertahan dan memanfaatkan peluang sebaik-baiknya ketika memperoleh peluang untuk menjaringkan gol.

Milivojevic menambah: "Jika anda menjaringkan tiga gol ketika bertemu City tanpa memperoleh banyak peluang dan ruang, saya rasa anda berhak untuk memenangi perlawanan itu.

"Kami bertahan dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan dan ia akhirnya berhasil." - AGENSI

Berita Harian X