Selasa, 25 Disember 2018 | 9:33am
OLE Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

Jangan gentar aura Old Trafford - Solskjaer

MANCHESTER: Manchester United kembali ke Old Trafford buat pertama kali di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer menentang Huddersfield esok dengan harapan menggunung selepas meledak lima gol dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris buat julung kali dalam tempoh lima tahun.

Pengendali sementara dari Norway itu yang membimbing pasukan sehingga tamat musim ini memulakan tugas dengan langkah kanan apabila membelasah Cardiff 5-1.

United bagaimanapun masih berdepan cabaran besar untuk mengejar jurang lapan mata bagi sekurang-kurangnya menempah tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Saya rasa pemain-pemain tidak sabar untuk beraksi di Old Trafford dan ia penting. Kami perlu menikmatinya, mereka adalah penyokong terbaik di dunia,” kata Solskjaer ketika ditanya sama ada anak buahnya tertekan dengan aksi di laman sendiri.

Solskjaer ketika bergelar pemain United, meledak 126 gol sepanjang 11 musim, termasuk jaringan kemenangan ketika final Liga Juara-Juara 1999.

Dia mendapat sokongan padu penyokong pelawat ketika aksi di Cardiff di mana United menjaringkan lima gol buat kali pertama sejak perlawanan terakhir di bawah kendalian Alex Ferguson. – AFP

 

Berita Harian X