Isnin, 24 Disember 2018 | 5:53pm

Mac waktu paling sesuai

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan wujudnya salah faham susulan percanggahan maklumat yang dikeluarkan oleh pihaknya serta Liga Bolasepak Malaysia (FAM) membabitkan kalendar pertandingan Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Semalam, FAM mengumumkan aksi Pestabola Merdeka akan berlangsung pada Mac depan namun kalendar pertandingan yang dikeluarkan MFL menyatakan saingan itu bermula dari 26 hingga 31 Januari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan ia berikutan komunikasi terakhir antara pihaknya dengan MFL adalah kira-kira sebulan lalu iaitu sebelum aksi Piala AFF 2018.

"Ya, MFL selari dengan kami dan kami sudah membincangkan mengenai kalendar pertandingan sejak enam bulan lalu namun perbincangan terakhir berlangsung bulan lalu.

"Pestabola Merdeka sememangnya ada dalam perancangan kami dan keputusan hanya dibuat selepas melihat perkembangan skuad negara dalam Piala AFF 2018. Apapun, tiada makluman rasmi mengenai perkara ini.

"Pada awalnya, pertandingan itu akan diadakan pada Januari namun dengan Piala AFF 2018, menghimpunkan pemain negara selama lebih 50 hari dan mengadakan pertandingan pada bulan Januari mungkin agak sukar.

"Kami merancang untuk melangsungkannya pada  Mac kerana ketika itu (18-26 Mac) adalah kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mungkin itu waktu terbaik untuk memanggil pemain kerana mereka ada tanggungjawab bersama pasukan masing-masing pada bulan Januari," katanya.

Pertandingan tertua Asia itu kembali diadakan selepas lima tahun yang menyaksikan skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara merangkul kejuaraan selepas menundukkan skuad B-23 Myanmar pada edisi 2013.

Malaysia memenangi pertandingan itu sebanyak lapan kali selain bergelar naib juara dalam lapan edisi sementara Korea Selatan menjadi pasukan kedua terbaik dengan lima gelaran.

699 dibaca
Berita Harian X