Isnin, 24 Disember 2018 | 4:39pm
Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan. - Arkib NSTP

Jangan terima pasukan 'cap ayam'

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu meletakkan garis panduan terhadap penyertaan pasukan yang akan menyertai Pestabola Merdeka bagi menjaga kualiti dan prestij kejohanan itu.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, ia wajar bagi memastikan pasukan yang mahu menyertainya menghantar pasukan terbaik dan bukannya pasukan 'cap ayam'.

Jelasnya, penyertaan pasukan terbaik juga akan menyemarakkan lagi saingan sekali gus dapat 'memancing' minat peminat untuk menyaksikan setiap perlawanan.

"Apabila Pestabola Merdeka dianjurkan kembali selepas lima tahun, sudah tentu kita memerlukan sesuatu yang besar iaitu dengan penampilan pemain yang terbaik daripada setiap pasukan.

"Kita tidak mahu Pestabola Merdeka menjadi saingan suka-suka sahaja. Kita tidak mahu di mana kita menyiapkan pasukan yang terbaik tetapi lawan kita nanti sekadar menghantar pasukan simpanan untuk melengkapkan penyertaan.

"Jadi, biarlah semua pasukan dapat menghantar pemain terbaik mereka, barulah Pestabola Merdeka akan menjadi kejohanan yang lebih menarik dan sengit," katanya.

Mengulas lanjut penyertaan pasukan negara bagi kejohanan yang kali terakhir dianjurkan pada 2013 itu, Wan Jamak meletakkan sepenuhnya keputusan di tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sama ada mahu menghantar pasukan senior atau bawah umur.

"Lebih bagus sekiranya kita dapat menghantar dua pasukan sekali gus iaitu pasukan senior dan skuad bawah 23 (B-23) tahun.

"Lagipun bola sepak kita pun sedang meningkat naik dan sudah tentu penyokong mahu menyaksikan kedua-dua pasukan ini beraksi," katanya.

Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan badan induk itu memberi bayangan sedia menganjurkan kembali Pestabola Merdeka dengan saingan itu kemungkinan besar berlangsung, Mac tahun depan.

Bagaimanapun, perancangan itu dilihat bercanggah dengan kalendar pertandingan yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) di mana pertandingan itu akan diadakan pada 26 hingga 31 Januari.

Namun, Setiausaha Agung FAM,  Stuart Ramalingam menjelaskan cadangan untuk menganjurkan pertandingan itu pada Mac bertujuan mengelak persiapan pasukan tempatan yang beraksi dalam Liga Malaysia musim depan tidak terjejas.

1179 dibaca
Berita Harian X