Ahad, 23 Disember 2018 | 2:41pm
PENYERANG kebangsaan, Safee Sali. - Foto Asyraf Hamzah

Harimau Malaya perlu sentiasa asah taring

KUALA LUMPUR: Meskipun bergelar naib juara Piala AFF 2018, ia bukan tiket untuk skuad Harimau Malaya berasa selesa kerana perlu mensasarkan peringkat yang lebih tinggi selepas ini.

Jelas penyerang kebangsaan, Safee Sali, skuad bola sepak negara perlu memperbanyakkan aksi persahabatan meskipun sekadar di Asia Tenggara asalkan lawan ditemui berada pada ranking yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

"Kita hanya melepasi peringkat Asia Tenggara dan belum lagi mencapai tahap Asia. Apapun, momentum ini sudah cukup baik buat pasukan supaya terus memperagakan aksi lebih baik dalam aksi persahabatan yang akan diatur.

"Pemain perlu terus didedahkan dengan perlawanan berintensiti tinggi selain menentang pasukan dengan fizikal yang jauh lebih baik. Melalui cara ini, mungkin kita dapat memberi saingan di peringkat Asia," katanya.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu berjaya menyingkirkan juara bertahan, Thailand menerusi peraturan gol di tempat lawan namun terpaksa akur tewas 2-3 di tangan Vietnam yang menghuni ranking ke-100 dunia.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan Cheng Hoe sebagai pengendali skuad kebangsaan, penggempur baharu Perlis itu mengakui bekas jurulatih Kedah itu perlu terus diberi kepercayaan untuk mengemudi skuad Harimau Malaya.

"Cheng Hoe memiliki ciri dan kualiti yang terbaik untuk kekal sebagai jurulatih berdasarkan pencapaiannya pada Piala AFF 2018.

 "Saya kagum dengan perubahan dalam corak permainan pasukan kebangsaan ketika ini kerana mereka lebih dinamik di seluruh bahagian dan banyak menggunakan pendekatan menyerang.

"Saya mengharapkan Cheng Hoe akan terus diberi kepercayaan sebagai jurulatih kerana beliau layak berada di posisi itu," katanya. 

1265 dibaca
Berita Harian X