Ahad, 23 Disember 2018 | 2:39pm
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam bergambar bersama orang ramai pada Majlis Makan Malam Bersama Pengadil dan Penilai Pengadil FAM 2018, malam tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pestabola Merdeka kembali Mac ini

SHAH ALAM: Walaupun belum ada kata putus, Pestabola Merdeka dijangka kembali dianjurkan dengan kemungkinan besar dilangsungkan pada Mac tahun depan.

Walaupun menerusi kalendar 2019 yang dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menunjukkan pertandingan itu bakal diadakan pada 26 hingga 31 Januari, namun ia dilihat tidak sesuai ketika kelab tempatan sedang mempersiapkan pasukan masing-masing untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata cadangan untuk menganjurkan pertandingan itu pada Mac bertujuan mengelak persiapan pasukan tempatan daripada terjejas.

"Kami tidak mahu kacau persiapan kelab. Kami tidak mahu panggil pemain untuk tempoh yang lama kerana sudah 'pegang' pemain lebih daripada 50 hari (untuk aksi Piala AFF).

"Kami tengah teliti mengenai pelaksanaan Pestabola Merdeka. Sama ada ia diadakan pada Januari atau Mac yang juga tempoh aksi antarabangsa FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).

"Kalendar itu (yang dikeluarkan MFL) dibuat selepas perbincangan dengan FAM untuk mengadakan pertandingan itu pada Januari. Namun besar kemungkinan kita tidak akan guna tarikh itu sebaliknya ditangguh ke Mac," katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Bersama Pengadil dan Penilai Pengadil FAM 2018, malam tadi.

Mengikut jadual dikeluarkan FIFA, tempoh aksi antarabangsa ditetapkan pada 14 hingga 26 Mac.

Kali terakhir pertandingan yang mula dianjurkan pada 1957 itu adalah pada 2013 di Kuantan Pahang.

Ketika itu Malaysia diwakili skuad Bawah 23 tahun muncul juara selepas menewaskan Myanmar B-23, 2-0.

1718 dibaca
Berita Harian X