Ahad, 23 Disember 2018 | 8:45am
OLE Gunnar Solskjaer. - Foto Reuters

Kata-kata semangat Rooney inspirasi Solskjaer

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer mengakui kata-kata semangat daripada bekas wira Manchester United yang lain membantu menyuntik nafas baharu buat kelab itu ketika dia meraih kemenangan pertama sebagai pengurus sementara The Red Devils, malam tadi.

Solskjaer yang mengambil alih tempat Jose Mourinho lulus ujian pertama sebagai pengurus apabila anak buahnya merakam kemenangan selesa 5-1 ke atas Cardiff City dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Pengendali berusia 45 tahun dari Norway itu berkata, kata-kata semangat daripada Wayne Rooney memberikannya insipirasi bagi memacu kemenangan United.

“Saya tiba pada Rabu malam dan hanya dua hari iaitu Khamis dan Jumaat bersama pemain. Wayne Rooney menghantar mesej kepada saya dan memberikan sedikit nasihat – jadi dia juga harus diberikan pujian,” kata Solskjaer.

“Dia memberitahu saya agar membuatkan mereka bermain bola sepak, menikmatinya dan menjadi pemain Manchester United.”

Dibantu dengan kata-kata semangat daripada Rooney, Solskjaer berjaya mencari formula ampuh bagi membolehkan barisan pemainnya bermain lebih bebas   – sesuatu yang sukar dilihat ketika di bawah kendalian Mourinho dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan lima gol dalam saingan liga buat kali pertama sejak kali terakhir melakukannya pada perlawanan terakhir dibimbing Alex Ferguson pada 2015.


WAYNE Rooney. - Foto AFP

Selepas kemenangan ke atas Cardiff – kelab yang menyaksikan Solskjaer bergelut pada sebagai pengurus buat kali pertama dalam Liga Perdana Inggeris,   pemain United dan bekas pemain seperti Rooney turut merasakan impak yang bekas rakan sepasukannya itu.

“Ia hari yang menakjubkan buat kelab. Manchester United sebahagian besar dalam hidup saya dan ia sesuatu yang tidak baik melihat situasi berlaku ketika ini.  Namun, apabila Ole mendapat tugas itu, saya fikir saya perlu menghantar mesej mengucapkan tahniah.

“Kemampuan pemain sebelum ini dilihat agak terhad di bawah kendalian Mourinho. Pemain ada kemampuan dan hari ini kita dapat melihatnya.

“Banyak perkara yang berlaku dalam pasukan dan pengurus yang mana ia sesuatu yang tidak baik. Ole memberikan mereka kebebasan,” kata Rooney.

Pemain muda United juga kini memuji cara Solskjaer yang memberi mereka kebebasan bagi membuktikan kemampuan sebenar.

Jesse Lingard yang menjaringkan dua gol bagi menambah gol awal yang dijaringkan Marcus Rashford, Ander Herrera dan Anthony Martial, berkata: “Pemain beraksi dengan penuh bertenaga, menikmati perlawanan dan menunjukkan keterujaan mereka.

“Apabila kamu yakin, kamu meletakkan diri kamu di posisi yang betul untuk menjaringkan gol. Itu yang kami lakukan, kami bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang,” kata Lingard. - Reuters

2048 dibaca
Berita Harian X