Sabtu, 22 Disember 2018 | 10:51pm
PENGURUS Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino. - Foto AFP

Pochettino lega benteng kembali mantap

LONDON: Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino mengakui betapa kepercayaan dan komitmen membantu pasukannya tidak dibolosi dalam dua aksi berturut-turut minggu ini meskipun kehilangan beberapa tonggak pertahanan tengah susulan kecederaan.

Dengan Jan Vertonghen mengalami kecederaan paha, Davinson Sanchez dan Juan Foyth baru pulih daripada kecederaan serta Eric Dier mengalami pembedahan apendiks, bek kiri, Ben Davies terpaksa bergandingan dengan Toby Alderweireld dalam dua aksi bertemu Burnley dan Arsenal yang menyaksikan mereka meraih kemenangan 1-0 dan 2-0.

Dengan Juan diletakkan di bangku simpanan pada aksi Piala Liga di Stadium Emirates dan Davinson akan kembali untuk aksi bertemu Everton esok, Pochettino kini memiliki lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan.

"Perkara paling penting dalam kepercayaan. Sukar untuk menunjukkan bagaimana kepercayaan dalam pasukan ini kepada penyokong ataupun media namun semuanya adalah mengenai pasukan,” kata Pochettino.

"Apabila ada pemain tidak dapat diturunkan kerana kecederaan atau direhatkan… namun jika anda percaya kepada pemain sudah tentu anda dapat memperagakan persembahan yang hebat.

"Kami gembira kerana kami sentiasa percaya semangat berpasukan selain menggunakan bakat individu untuk menambah kualiti pasukan. Kami ingin menunjukkan bahawa dengan hanya beberapa nama, pasukan ini dapat terus bersaing pada peringkat yang sama dengan pasukan lain.

"Dalam dua aksi terdahulu, Davies beraksi dengan sangat baik sebagai pertahanan tengah. Saya percaya dia boleh beraksi pada posisi itu dan memberikan hasil yang memberangsangkan buat pasukan.

"Saya berpuas hati kerana kami semakin mantap dan semua pemain menunjukkan komitmen. Jika kami mahu meraih trofi, semua pemain perlu komited kepada pasukan." – AGENSI

391 dibaca
Berita Harian X