Sabtu, 22 Disember 2018 | 12:30am
OLE Gunnar Solskjaer

Mampukah Ole Gunnar ubah nasib United?

KOLUM APA KATA EPL

PENGUNDURAN Jose Mourinho daripada Old Trafford mendapat perhatian utama minggu ini. Pelbagai reaksi diterima khususnya babitkan penyokong termasuk di Malaysia sejurus kelab Manchester United mengumumkan perkembangan itu pada Selasa lalu menerusi lawan sesawangnya.

Ramai katanya yang lega dan memuji langkah itu dalam usaha menyelamatkan Red Devils musim ini. Tidak kurang juga yang kecewa dan tidak bersetuju kerana bimbang nasib lebih buruk menimpa kelab selepas ketiadaan 'The Special One'.

Apapun keputusan United ini tidak mengejutkan, bersandarkan prestasi semasa kelab dalam saingan liga terutama selepas tumbang 1-3 kepada Liverpool di Anfield minggu lalu.

Nasib Mourinho jelas bak seperti 'telur dihujung tanduk'. United kini ditangga keenam liga dengan himpunan 26 mata, ketinggalan 19 mata dibelakang Liverpool.

Kekosongan ditinggalkan oleh Mourinho itu kemudian diisi oleh legenda kelab berkenaan dari Norway, Ole Gunnar Solskjaer pada Khamis lalu selaku pengendali sementara. Ole membawa bersama pembantunya, Mike Phelan dan Kieran McKenna selain mengekalkan Michael Carrick.

Seperti juga penyokong tegar United, kelab gergasi Inggeris ini menaruh harapan tinggi kepada Ole untuk mengubah nasib Red Devils yang kini hampir pasti terlepas kejuaraan EPL musim ini.

Dalam tempoh 11 hari, dia akan diuji dengan empat perlawanan - bermula menentang Cardiff City di Stadium Cardiff awal pagi esok waktu Malaysia.

Sebelum menyandang jawatan ini, Ole menyertai Red Devils sebagai penyerang antara 1996 hingga 2007. Sepanjang tempoh itu, dia beraksi sebanyak 366 kali dan menjaringkan 126 gol United.

Selepas bersara, dia dilantik sebagai pengendali pasukan simpanan United pada 2008, sebelum kembali ke negaranya sebagai pengendali kelab Molde pada 2011 hingga 2014.

Selepas itu, dia membimbing Cardiff sebelum kembali ke Molde setahun kemudian. Dengan latarbelakang ini, mampukah Ole melakukan keajaiban yang diharapkan penyokong Red Devils? Sudah pasti, Ole mahu mata penuh bagi aksi sulung selaku bos baru United.

Sementara itu, pendahulu liga, Liverpool dijangka tiada masalah meneruskan kemenangan apabila bertemu Wolves jam 4 pagi ini.

Kemenangan menyakinkan ke atas United minggu lalu, jelas melonjakkan semangat barisan Jurgen Klopp untuk mengekalkan rentak.

Dengan City yang hanya beraksi menentang Crystal Palace jam 11 malam ini waktu Malaysia, The Reds berupaya menjarakkan kedudukan dengan kelebihan empat mata dengan pesaing terdekatnya itu.

Namun kita tidak boleh menolak keupayaan Wolves yang kini ditangga ketujuh liga dengan himpunan 25 untuk mencipta kejutan andai Liverpool gagal kekal rentak kemenangan.

Dalam pada itu, Tottenham yang akan membuat perhitungan dengan Chelsea pada separuh akhir Piala Liga Inggeris bulan depan, dijangka berdepan kesukaran apabila berkunjung ke Goodison Park bertemu Everton.

The Blues dan Arsenal harus juga tiada masalah catat kemenangan minggu ini. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Wolves 1 Liverpool 3

Arsenal 2 Burnley 1

Bournemouth 2 Brighton 2

Chelsea 1 Leicester 0

Huddersfield 2 Southampton 2

Man City 3 Crystal Palace0

Newcastle 1 Fulham 2

West Ham 2 Watford 1

Cardiff 1 Man United 2

Everton 1 Tottenham 2

*Penulis adalah Penolong Editor Sukan Convergence NSTP

1340 dibaca
Berita Harian X