Rabu, 19 Disember 2018 | 6:58pm
Ole Gunnar Solskjaer. - Foto EPA

Solskjaer sah ganti Mourinho

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer sebentar tadi dinamakan pengurus sementara Manchester United sehingga penghujung musim ini selepas pemecatan Jose Mourinho.

Bekas penyerang United itu akan mengambil alih pasukan utama serta merta dan akan kekal sehingga kelab itu mencari pengurus sepenuh masa.

Mourinho dipecat semalam selepas hanya dua setengah tahun mengemudi pasukan berpangkalan di Old Trafford itu ketika juara England 20 kali itu kini menduduki tangga keenam Liga Perdana, 19 mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Solskjaer, 45, akan disertai Mike Phelan selaku jurulatih pasukan utama dan bekerjasama dengan Michael Carrick dan Kieran McKenna.

“Manchester United sentiasa di hati saya dan amat menarik untuk kembali dengan tugasan ini. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan skuad yang sangat berbakat milik kami, staf dan semua orang di kelab,” kata pengurus dari Norway itu.

Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward berkata: “Ole ialah legenda kelab dengan pengalaman luas, dalam padang dan selaku jurulatih.

“Sejarah yang dilakarnya di Manchester United bermakna dia hidup dan bernafas di sini, dan semua orang di kelab gembira dia dan Mike Phelan kembali. Kami yakin mereka akan menyatukan pemain dan penyokong ketika kami akan melalui babak kedua musim.”

United tampak secara tidak sengaja mengumumkan pelantikan itu di laman sesawang mereka semalam, dengan video rasmi kelab menunjukkan mereka sedang meraikan Solskjaer.

Video menunjukkan dia menjaringkan gol kemenangan buat United pada final Liga Juara-Juara 1999 berdepan Bayern Munich dengan tajuk ‘Malam paling gemilang dalam karier Ole’. - AFP

2101 dibaca
Berita Harian X