Rabu, 19 Disember 2018 | 6:06pm
PENGURUS Arsenal, Unai Emery. - Foto Reuters

Emery jangka Pochettino akan kekal bersama Spurs

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery percaya Mauricio Pochettino cukup gembira bersama Tottenham Hotspur dan mempersoalkan tanggapan pengendali dari Argentina itu akan meninggalkan kelab untuk mengemudi Manchester United, musim depan.

Susulan pemecatan Jose Mourinho pada Selasa lalu - selepas United mempamerkan aksi yang longlai sejak awal musim ini, Pochettino terus menjadi tumpuan sebagai pengurus pilihan utama di Old Trafford.

Sememangnya Pochettino berada dalam radar kelab itu berikutan gaya permainan menyerang yang diterapkan untuk Spurs, program pembangunan pemain muda dan lebih sinonim dengan kejayaan United ketika dibawah Alex Ferguson.

Namun, sejak pengendali legenda dari Scotland itu bersara pada 2013, United gagal mengulangi kejayaan lampau, bahkan semakin ketinggalan.

"Saya rasa beliau (Pochettino) sangat gembira di Tottenham," kata pengendali dari Sepanyol, Emery kepada media menjelang pertembungan suku akhir Piala Liga antara Arsenal dengan pasukan tangga ketiga liga, Spurs.

"Beliau mengemudi pasukan yang besar dengan ramai pemain yang mempunyai nama besar. Mereka kini beraksi di Liga Juara-Juara, dan mereka juga berada pada kedudukan lebih baik berbanding Manchester United di Liga Perdana.

"Saya tidak pasti jika beliau ada terfikir untuk mengemudi kelab lain, tetapi saya nampak beliau mempunyai komitmen cukup besar di Tottenham. Beliau mempunyai idea yang bagus dan Tottenham mempamerkan prestasi cukup baik.

Pochettino sendiri sebelum ini menyifatkan dakwaan beliau akan ke United sebagai khabar angin dan menegaskan akan terus fokus untuk meraih keputusan yang baik sebagai pengurus Tottenham.

Pengendali berusia 46 tahun ini mengemudi Spurs tempat ketiga terbaik di Liga Perdana, tetapi masih gagal menjulang trofi utama - Reuters

355 dibaca
Berita Harian X