Rabu, 19 Disember 2018 | 11:12am
Gambar fail, Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino ketika pasukannya menentang FC Barcelona pada perlawanan Liga Juara-Juara pada 11 Disember lalu. - Foto Reuters

Pochettino layak kendali United: Neville

LONDON: Gary Neville menegaskan Manchester United harus melantik Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu pasukan itu selepas memecat Jose Mourinho dengan menggambarkan pengendali Spurs itu sebagai calon paling sesuai.

Neville, yang memenangi beberapa gelaran Liga Perdana ketika di Old Trafford di bawah kendalian Alex Ferguson berkata, pemergian pengendali dari Portugal itu membuka peluang buat mereka untuk ‘membetulkan semula keadaan’.

United, kini menghuni tangga keenam liga, ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu Liverpool selepas menempuh musim yang penuh berliku.

“Saya menyatakan musim lalu pengurus Manchester United seterusnya adalah Mauricio Pochettino,” kata Neville.

“Apabila saya melihat nilai yang ada di Manchester Uniterd, anda lihat kepercayaan Mauricio Pochettino terhadap pemain di (kelab sebelum ini) Southampton dan Tottenham.

“Anda lihat tahap prestasi dan corak permainannya, cara beliau membawa diri setiap masa, secara terbuka dan peribadi.”

Neville berkata: “Manchester United sudah mencuba pengurus yang memenangi Piala Eropah, mereka cuba pengurus yang memenangi beberapa gelaran liga, mereka juga mencuba pengurus yang mempunyai rekod yang baik di Liga Perdana.

“Mereka memerlukan seseorang yang memenuhi tiga prinsip utama dalam bola sepak kelab: kepercayaan terhadap pemain muda, menikmati bola sepak dan memenangi perlawanan.”

Satu lagi nama yang dikaitkan dengan United adalah bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane yang meninggalkan kelab gergasi Sepanyol selepas membimbing mereka merangkul gelaran Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut awal tahun ini.

Mengulas mengenai pemain Perancis itu, Neville berkata: “Saya tidak fikir sesiapa mampu mempersoalkan mengenai kemampuannya. Beliau pernah menjadi pemain bertaraf dunia dan kini menjadi pengendali bertaraf dunia di Real Madrid.

“Tapi beliau bukan pilihan saya dalam erti kata lain saya memilih Mauricio Pochettino, namun anda tidak boleh mempersoalkan keupayaan Zinedine Zidane kerana rekod yang dimilikinya.” – AFP

752 dibaca
Berita Harian X