Isnin, 17 Disember 2018 | 4:40pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Mahzir Mat Isa

Cheng Hoe kena sabar dulu

KUALA LUMPUR: Hanya Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) yang akan menentukan nasib Tan Cheng Hoe sama ada kekal sebagai jurulatih Harimau Malaya atau tidak.

Kontrak pengendali itu bakal tamat hujung bulan ini dan bekas jurulatih Kedah berkenaan nampaknya masih perlu bersabar sehingga jawatankuasa yang dipengerusikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersidang dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam tidak menolak kemungkinan kejayaan memenuhi indeks penunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan badan induk itu untuk mara ke final Piala AFF menjadi kelebihan utama Cheng Hoe.

"Satu mesyuarat JPPK akan diadakan sebelum hujung tahun ini di mana prestasi keseluruhan Cheng Hoe dan semua barisan kejurulatihan di bawah beliau akan dibincangkan.

"Saya fikir FAM akan meneliti sepenuhnya persembahan Harimau Malaya dan bukan sahaja melihat kepada kejayaan membawa pasukan ke final Piala AFF. Tapi, sudah semestinya ia (mara ke final Piala AFF) satu kelebihan kepada cheng Hoe," kata Stuart.

"Pandangan daripada semua pihak akan diambil kira kerana kadang-kadang setiap individu berlainan pendapat. Tapi kalau bagi saya, beliau berjaya memberikan jenama baharu buat bola sepak Malaysia dan seluruh negara juga berbangga.

"Saya rasa falsafah bola sepak kebangsaan bermula dengan pasukan sekarang dan itu adalah salah satu jenama bola sepak yang kita mahu serapkan di semua tahap pembangunan yang kita buat."

Cheng Hoe dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada hujung tahun lalu selepas Nelo Vingada melepaskan jawatan susulan prestasi buruk Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Stuart menjelaskan fokus utama Harimau Malaya selepas ini lebih terarah kepada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula tahun depan.

Beliau berkata, FAM juga sedang merangka beberapa siri aksi persahabatan pada Mac depan sebagai persiapan pasukan menghadapi kempen kelayakan itu.

"Sekarang masa untuk kita melihat ke pasukan luar ASEAN, tapi kita perlu mendapatkan kualiti dengan aksi persahabatan sebagai persediaan untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.

"Kita memiliki ramai pemain muda selain dibantu pemain senior dan saya harap mereka dapat menggunakan pengalaman di Piala AFF untuk bergerak ke tahap lebih baik.

"Kita juga sedang melihat beberapa pasukan termasuk di Asia Barat dan Timur Tengah, tapi apa pun kita perlu bincang dengan jurulatih untuk membuat keputusan pasukan mana yang lebih sesuai."

Berita Harian X