Isnin, 17 Disember 2018 | 4:37pm
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan. - Foto Saddam Yusoff

Dua tahun pun boleh!

KUALA LUMPUR: “Minimum kontrak dua tahun!,” kata Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewajaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melanjutkan kontrak pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang berakhir hujung bulan ini.

Jelas Sathianathan yang juga jurulatih Selangor, tiada sebab buat FAM tidak menyambung kontrak bekas jurulatih Kedah itu apatah lagi selepas kemampuannya dibuktikan selepas membimbing Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2018.

“Sejak Cheng Hoe mengambil alih skuad kebangsaan, anda sendiri dapat saksikan perubahan besar khususnya corak permainan dan walaupun tewas di tangan Vietnam, saya lihat ia satu persembahan yang memberangsangkan.

“Dengan falsafah bola sepak yang sudah diterapkan dan corak permainan yang lebih baik, sudah tentu Cheng Hoe seharusnya dikekalkan supaya dapat meneruskan kesinambungan terhadap apa yang sudah dilakukannya setakat ini.

“Pencapaiannya juga lebih baik berbanding jurulatih asing sebelum ini. Memang Cheng Hoe individu paling tepat untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Cheng Hoe mengakui keputusan mengenai lanjutan kontraknya bergantung kepada badan induk itu sama ada masih mahu memberi kepercayaan kepadanya selepas dilantik menggantikan jurulatih dari Portugal, Nelo Vingada pada Disember tahun lalu.

Meskipun gagal membimbing skuad negara merangkul kejuaraan Piala AFF 2018 selepas tumpas kepada Vietnam menerusi agregat 2-3 kelmarin, namun jurulatih berusia 50 tahun itu berjaya menepati sasaran FAM untuk layak ke perlawanan akhir.

Sementara itu, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim turut senada dengan Sathianathan selepas melihat Cheng Hoe menjalankan tugasnya dengan baik hingga ke final Piala AFF.

“Kita pernah mencuba nama besar jurulatih luar negara tapi hasilnya tidak memberangsangkan.

“Hadirnya Cheng Hoe sebagai jurulatih tempatan yang tahu selok-belok perkembangan dan prestasi terkini pemain dalam Liga Malaysia memudahkan beliau membentuk pasukan kebangsaan,” katanya.

Berita Harian X