Isnin, 17 Disember 2018 | 1:21pm
Dollah Salleh. - Foto Owee Ah Chun

Tok Gajah uji UiTM, Selangor United di Temerloh

KUANTAN: Dua aksi persahabatan di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh diyakini mampu menilai prestasi semasa skuad Pahang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Skuad kendalian Dollah Salleh itu akan memberi tumpuan kepada tahap kecergasan ketika bertemu UiTM FC malam ini manakala Selangor United malam esok.

Namun, Dollah berkata, dua aksi persahabatan itu tanpa dibarisi tiga pemain utama iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Safuwan Baharudin.

"Norshahrul dan Sumareh baharu sahaja pulang mewakili skuad Harimau Malaya bagi kejohanan Piala AFF 2018 manakala Safuwan dijangka bersama skuad Tok Gajah minggu hadapan.

"Ketiadaan mereka tidak menjejaskan persiapan pasukan kerana saya lebih menekankan kepada barisan pemain tempatan untuk membentuk persefahaman," katanya.

Dollah juga mengesahkan penyerang Jamaica, Errol Stevens dan bekas pemain Melaka United, Lee Chang Hoon dari Korea Selatan akan diuji pada aksi persahabatan itu.

"Bagaimanapun, aksi persahabatan dengan UiTM dan Selangor United akan menentukan sama ada mereka diterima atau tidak.

"Pada masa sama, saya sedia menerima pemain import yang ingin menyertai Pahang kerana tiga pemain import musim ini iaitu Patrick Cruz, Austin Amutu dan Issey Nakajima tidak dilanjutkan kontrak," katanya.

656 dibaca
Berita Harian X