Isnin, 17 Disember 2018 | 1:19pm

Tiga bulan tiada gaji

KUANTAN: Isu tunggakan gaji terus membelenggu pemain ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal dijadualkan membuka tirai Januari ini.

Terbaharu, FELDA United FC yang juga juara Liga Perdana musim ini berdepan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan sejak September lalu yang ternyata memberi kesan kepada pemain yang mengharapkan pengurusan kelab itu menjelaskan pembayaran tunggakan gaji dengan segera.

Menurut sumber, tunggakan gaji itu bukan sahaja membabitkan pemain, malah keseluruhan pasukan termasuk barisan kejurulatihan.

"Sebagai pemain profesional, sukar buat kami berdepan dengan masalah tunggakan gaji kerana banyak komitmen perlu diselesaikan.

"Bagi pemain yang tidak disambung kontrak bersama FELDA United musim hadapan, ia memberi kesan kerana memerlukan sumber kewangan untuk mencari pasukan baharu.

"Jika mahu menjalani sesi pemilihan, ia memerlukan modal dan tempoh tiga bulan tunggakan gaji tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sumber itu berkata, pengurusan kelab tidak seharusnya memberikan alasan menghadapi masalah kewangan kerana bajet pasukan sudah dimuktamadkan pada awal musim.

Katanya, jika kelab menghadapi masalah kewangan, mereka tidak akan beraksi dalam saingan Liga M musim hadapan.

"Namun, The Fighters kini sedang membentuk pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super selepas semusim beraksi di Liga Perdana musim ini.

"Oleh itu, kami meminta pengurusan kelab menyegerakan bayaran gaji kerana ada di kalangan pemain yang tidak dilanjutkan kontrak masih belum mendapat pasukan baharu," katanya.

Musim ini, FELDA United yang beraksi di Liga Perdana muncul juara, sekali gus layak beraksi di Liga Super musim 2019.

Namun, masalah tunggakan gaji selama tiga bulan amat mengecewakan pemain yang bertungkus-lumus membantu The Fighters kembali ke Liga Super.

1259 dibaca
Berita Harian X