Isnin, 17 Disember 2018 | 11:13am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

Antara persembahan terbaik Liverpool

LIVERPOOL: Jurgen Klopp berkata, prestasi Liverpool ketika menewaskan musuh tradisi Manchester United 3-1 awal pagi tadi antara persembahan terbaik sejak dia bertugas di Anfield. 

Liverpool kembali ke kedudukan teratas Liga Perdana selepas pemain gantian pada babak kedua, Xherdan Shaqiri menjaringkan dua gol dalam masa tujuh minit.

Liverpool mendahului pada minit ke-25 menerusi Sadio Mane tetapi dihukum akibat kesilapan Alisson yang membolehkan Jesse Lingard menyamakan kedudukan.

“Ia permulaan mengagumkan, salah satu persembahan terbaik kami sejak saya berada di Liverpool,” kata Klopp yang mengambil alih kelab pada Oktober 2015.

“Pada setengah jam pertama kami menyerlah, menjaringkan satu gol tetapi saya tidak rasa sesiapa pun menjangkakan empat atau lima gol ketika menentang United.

“Kami bermain dengan sempurna. Kami membuat hantaran ke tempat yang betul dan bertahan dengan baik,” katanya.

Sementara Shaqiri membuktikan kemampuannya bagi membantu kemenangan, Fabinho juga dilihat memberi impak yang besar buat pasukan dalam perlawanan bertemu pasukan Jose Mourinho.

“Dia sangat menyerlah. Sungguh menyerlah,” kata Klopp. “Selasa lalu kami bermain menentang Napoli, salah satu permainan terbaik kami musim ini, bertemu lawan yang sangat kuat, kami bermain dengan Milner, Henderson dan Wijnaldum di barisan tengah dan Fabinho juga bermain di tahap tertinggi.” – AGENSI

1017 dibaca
Berita Harian X